MyCC denda 100 perusahaan, penalti cecah RM570 juta - Armizan

Ridauddin Daud
Julai 26, 2024 12:36 MYT
Armizan berkata, kementeriannya juga sedang membuat kajian untuk meminda Akta Persaingan 2010 dengan memasukkan elemen rejim kawalan penggabungan. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
SHAH ALAM : Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah mengambil tindakan terhadap 100 perusahaan sejak ditubuhkan pada April 2011.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak RM570 juta penalti dikenakan terhadap semua syarikat yang didapati bersalah.
Menurutnya, terdapat 18 kes yang masih dalam siasatan dan 14 daripadanya melibatkan kes tipuan bidaan.
"Dalam radar kita, ada 18 lagi kes dalam siasatan kita, termasuklah 14 kes melibatkan tipuan bidaan yang bagi kita cukup penting untuk kita siasat yang kita lihat sebagai satu bentuk sabotaj kepada agenda kerajaan.
"Sebab kita tahu di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, dari segi perolehan, supaya ditingkatkan perolehan kerajaan dalam bentuk tender terbuka.
"Tapi bila tender terbuka itu, bila ada tipuan bidaan, pakatan syarikat-syarikat tertentu untuk memasuki sesuatu tender, dia akan melanggar objektif tender terbuka itu. Sekarang, 18 kes sedang kita siasat 14 kes melibatkan tipuan bidaan ini," katanya dalam program Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian di Shah Alam pada Jumaat.
Jelas Armizan lagi, kementeriannya juga sedang membuat kajian untuk meminda Akta Persaingan 2010 dengan memasukkan elemen rejim kawalan penggabungan.
Tegasnya, elemen baharu itu bagi mengekang taktik sesetengah perusahaan yang mengambil alih syarikat lain dan kemudian mewujudkan keadaan monopoli.
#MyCC #membuat kajian #keadaan monopoli #kawalan penggabungan