MyCC bantah kenaikan yuran guaman pindah hak milik
Sinar Harian
Julai 17, 2023 14:20 MYT
Julai 17, 2023 14:20 MYT
SHAH ALAM: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) membantah kenaikan yuran guaman melibatkan pemindahan hak milik ketika rakyat masih bergelut dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus berkata, tindakan Majlis Peguam itu bertentangan dengan prinsip persaingan walaupun Seksyen 13 Akta Persaingan 2010 mengecualikan perintah pindaan daripada menggunakan akta tersebut.
“Kenaikan ini bukan yang pertama kerana Majlis Peguam pernah menaikkan yuran guaman untuk pemindahan hak milik melalui Perintah Saraan Peguam Cara (Pindaan) 2017.
"MyCC juga telah mengambil tindakan proaktif menangani isu membabitkan yuran tetap menerusi badan profesional sejak 2013," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu beliau menjelaskan, MyCC terbuka untuk memberi tumpuan kepada Majlis Peguam yang boleh menjadi ikutan kepada badan profesional lain sekiranya setuju menghapuskan penetapan yuran guaman bagi pemindahan hak milik.
Mohd Hishamudin berkata, pendekatan agensi itu sejajar dengan amalan negara maju seperti United Kingdom, Singapura dan Australia yang mana badan profesional termasuk Majlis Peguam tidak lagi mengamalkan penetapan yuran.
“Pandangan MyCC ini juga disokong oleh Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) yang sebelum ini pernah beberapa kali membincangkan isu berkenaan penetapan yuran guaman dalam mesyuarat mereka yang lepas.
"Penetapan yuran guaman itu dilihat tidak konsisten terutama apabila mengambil kira yuran litigasi di Malaysia tidak tertakluk kepada kadar tetap.
"Tindakan tersebut dilihat bertentangan dengan usaha kerajaan membantu rakyat mampu memiliki rumah sendiri," ujarnya.
Inisiatif kerajaan melalui Memorandum Pemindahan (MOT) dan pelepasan atau diskaun cukai setem, pelepasan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) dan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bertujuan mengurangkan impak kenaikan kos sara hidup kumpulan sasar selain dilaksana untuk menggalakkan industri perumahan.
"MyCC telah menerima kunjungan daripada pelbagai badan profesional dan persatuan peniaga yang mendapatkan sokongan kami terhadap cadangan untuk menetapkan bayaran atau harga bagi produk dan perkhidmatan mereka.
"Bagaimanapun pendekatan ini tidak sesuai dengan visi MyCC. Badan-badan ini harus berusaha dengan kreativiti dan inovasi bagi menggalakkan kecekapan pasaran, dan bukannya bergantung pada yuran skala tetap," ujarnya. -- Sinar Harian