MyCar harap urusan perbaharui cukai jalan pemandu e-hailing dipermudah

Astro Awani
Disember 16, 2020 08:43 MYT
MyCar dakwa terima banyak rungutan dan aduan daripada pihak pemandu yang tidak dapat memperbaharui cukai jalan disebabkan ketiadaan EVP. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Syarikat perkhidmatan e-hailing MyCar meminta pihak agensi berkaitan seperti Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) atau Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sarawak dan Sabah, melonggarkan prosedur Pembatalan Permit Kenderaan E-Hailing (EVP).
Pengasas dan Ketua Pegawai Operasinya, Mohd Noah pada masa sama berharap pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak mengaitkan pembaharuan cukai jalan dengan EVP dan status kenderaan e-hailing.
Jelasnya, MyCar mendapat banyak rungutan dan aduan daripada pihak pemandu yang tidak dapat memperbaharui cukai jalan disebabkan ketiadaan EVP.
"Keadaan ini menimbulkan ketidakpuasan hati para pemandu e-hailing yang terpaksa melakukan pembatalan EVP dan penukaran status kenderaan mereka dari Kenderaan E-Hailing (EH) kepada Kenderaan Persendirian (AH) sebelum dibenarkan untuk memperbarui cukai jalan," kata syarikat itu dalam satu kenyataan pada Rabu.
Malah, keadaan diburukkan lagi sekiranya pihak operator E-Hailing (EHO) seperti MyCar tidak membeli EVP dalam jumlah yang mencukupi atau dengan jumlah yang sama seperti tahun yang sebelumnya.
"Syarikat pengendali e-hailing seperti MyCar terpaksa mengurangkan jumlah pengambilan EVP disebabkan kesan pendemik COVID-19 yang teruk tahun ini dengan pengurangan jumlah tempahan sehingga 85 peratus dari jumlah tempahan yang biasa hampir enam bulan," tambahnya lagi.
MyCar juga berharap Kementerian Pengangkutan dapat mengurangkan harga kos permit EVP yang bernilai RM115 dengan potongan sebanyak 50 peratus bagi menggalakkan syarikat pengendali e-hailing membeli lebih banyak EVP.
Ia sekali gus memberikan pemandu peluang mendapat EVP setiap syarikat serta boleh memandu secara sah dan berlesen.
"MyCar mengharapkan kajian dan pelaksanaan perlu dilakukan secepat mungkin ketika ini kerana prosedur yang janggal ini sangat membebankan pemandu e-hailing untuk memperbaharui cukai jalan apatah lagi kenderaan e-hailing mereka juga digunakan untuk kegunaan harian seperti urusan harian keluarga dan pelbagai hal persendirian sebagaimana kenderaan persendiriaan yang lain-lain," ujarnya.
#MyCar #e-hailing #cukai jalan #EVP #COVID-19 #Agensi Pengangkutan Awam Darat #APAD #Mohd Noah
;