MyBeras: Dianggarkan 20,000 keluarga miskin Kelantan bakal terima beras percuma

Bernama
Februari 5, 2016 09:16 MYT
Salah seorang yang layak menerima bantuan berharap wang yang digunakan untuk membeli beras sebelum ini dapat digunakan untuk membayar tanggungan lain. - Gambar hiasan/AFP
Dianggarkan 20,000 keluarga miskin di Kelantan akan menerima bantuan 20 kilogram beras setiap keluarga sebulan melalui program MyBeras.
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha berkata JPP sebagai agensi pelaksana program tersebut, kini sedang menunggu arahan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk pengagihan beras tersebut.
Penerima yang terpilih untuk menerima beras di bawah program MyBeras terdiri daripada mereka yang tersenarai dalam eKasih iaitu Bank Data Kemiskinan Nasional bagi negeri Kelantan, katanya kepada Bernama di sini.
Makhtar berkata bagi memudahkan pengagihan beras kepada peserta, pihaknya mencadangkan menggunakan khidmat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di seluruh negeri ini.
Program MyBeras diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari.
Dalam perutusan khasnya itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pelaksanaan MyBeras sehingga Disember 2016 bertujuan mengurangkan beban hidup keluarga miskin susulan kenaikan kos sara hidup.
Dalam pada itu, beberapa peserta yang tersenarai dalam eKasih Kelantan, menyambut baik bantuan beras tersebut yang boleh meringankan beban perbelanjaan harian mereka.
Seorang peniaga murtabak, Kamaruzaman Mat, 57, dari Kampung Salor di sini, berkata program yang dilakukan oleh kerajaan persekutuan itu akan membantunya mengurangkan RM50 sebulan bagi kos penyediaan makanan asas kepada keluarganya.
"Jika sebelum ini dengan pendapatan saya RM1,000 sebulan, saya perlu menyediakan 70 kilogram beras sebulan bagi 10 orang isi rumah," katanya.
Tanggungan lain
Yusoff Isa, 65, dari Kampung Dangar, Pasir Mas berharap wang yang digunakan untuk membeli beras sebelum ini dapat beliau gunakan untuk membayar tanggungan lain.
Katanya, program bantuan beras itu dapat mengurangkan bebannya yang mempunyai pendapatan kira-kira RM700 sebulan, yang bekerja mengambil upah daripada penduduk kampung.
Seorang ibu tunggal Hazimah Daud, 74, juga dari Kampung Dangar berkata bantuan itu akan dapat meringankan beban perbelanjaan keluarganya.
"Dalam sebulan, saya memerlukan beras 15 kilogram untuk menampung lima beranak, dengan wang yang digunakan untuk membeli beras sebelum ini dapat saya belanjakan untuk keperluan lain," katanya.
Seorang ibu tunggal Siti Mariam Mohd Noor, 55, dari Kampung Telaga Gayong, Pasir Puteh berkata pemberian beras itu kelak dapat menjimatkannya RM30 sebulan wang peruntukan untuk membeli beras.
Beliau yang menerima bantuan dari Pejabat Kebajikan Masyarakat Pasir Puteh sebanyak RM300 sebulan, berkata ia sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaannya untuk menyara empat orang anak yang masih bersekolah.
#bantuan beras #keluarga miskin Kelantan #Makhtar Mustapha #program MyBeras
;