MyBAIKHATI: Senarai penerima B40 disediakan LHDN - Saifuddin Abdullah
Isabelle Leong
Mac 21, 2021 14:14 MYT
Mac 21, 2021 14:14 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan menggunakan senarai penerima B40 yang disediakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mengenal pasti penerima tersebut layak untuk menerima manfaat kempen MyBAIKHATI di bawah Program Strategik Rakyat dan Ekonomi, PEMERKASA.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata ia bagi memastikan program tersebut dapat dilakukan dengan teliti bagi memastikan bantuan berkenaan mencapai golongan sasar.
“Saya tidak risau sangat soal pelaksanaan crowdsourcing untuk peranti berkenaan kerana senarai yang akan digunakan adalah senarai yang disediakan LHDN.
“Jadi memang apabila peranti tersebut sudah diperbaiki itu hendak diagihkan, saya yakin kami dapat melaksanakannya dengan teliti kerana senarai B40, kami ambil berdasarkan senarai LHDN,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Jelajah Malaysia Prihatin di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sentul di ibu negara pada Ahad.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, SKMM akan memperkenalkan program MyBaikHati dengan kerjasama pihak syarikat telekomunikasi sebagai inisiatif crowdsourcing peranti terpakai dan kemudiannya diagihkan untuk kegunaan ramai.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata beliau masih menunggu panggilan untuk menerima suntikan vaksin Sinovac.
Beliau juga meluahkan hasrat untuk mengambil suntikan vaksin bersama-sama kumpulan pengamal media, susulan mengambil kira risiko jangkitan COVID-19 terhadap golongan tersebut yang berada di lapangan dan bertemu dengan orang ramia.
“Saya minta supaya wartawan dan krew semua dimasukkan dalam petugas barisan hadapan.
“Saya dimaklumkan saudara Khairy Jamaluddin dan Dr Adham Baba, mereka berusaha untuk mendahulukan wartawan tetapi bukan sama macam petugas barisan hadapan yang lain.
“Saya sepatutnya sudah menerima vaksin tersebut, tetapi saya meminta untuk suntikan vaksin Sinovac dan bersama-sama wartawan. Oleh itu saya tunggu sahaja,” katanya.
#MyBAIKHATI
#LHDN
#Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
#Lembaga Hasil Dalam Negeri
#Program Strategik Rakyat dan Ekonomi
#Saifuddin Abdullah
#COVID-19
#vaksin
#Sinovac
#Khairy Jamaluddin
#Muhyiddin Yassin
#Dr Adham Baba