MyAssist MSME bolehkan PKS harungi perubahan landskap keusahawanan - Gapan

Astro Awani
Julai 12, 2021 16:32 MYT
Syed Hussien menegaskan, platform itu meluaskan lagi capaian pasaran usahawan dan PKS. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Portal MyAssist MSME membolehkan pemain Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mengharungi perubahan landskap keusahawanan yang lebih tertumpu kepada pendigitalan dalam realiti baharu ini.
Presiden Gabungan Persatuan Anak Negeri (Gapan), Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee menegaskan, platform itu menjadi pilihan terbaik di dalam membantu usahawan dan PKS menerapkan sepenuhnya fungsi platform digital bagi meluaskan lagi capaian pasaran perniagaan masing- masing.
"Kami menyambut baik pelancaran Portal MyAssist MSME dan menyifatkan ia tepat pada masa negara masih berdepan penularan pandemik COVID-19 dan ditambah dengan kekangan pergerakan oleh kerajaan.
"Selain itu, perlunya bimbingan dan kursus berkaitan serta khidmat nasihat mengenai kegunaan platform digital ditawarkan bagi meningkatkan kadar penerapan teknologi digital di kalangan komuniti usahawan dan PKS yang terjejas.
"Ia membantu perniagaan mereka lebih berdaya saing dan bersedia untuk meneroka potensi baharu pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
BACA: Portal MyAssist MSME, kemudahan pusat sehenti bantu PKS - PM
BACA: Moratorium menyeluruh enam bulan diperlukan bagi jaringan keselamatan sosial, perniagaan - EMIR Research
Pelancaran portal MyAssist MSME oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini merupakan inisiatif terbaru kerajaan yang memudahkan PKS mendapatkan maklumat perniagaan, khidmat nasihat dan peluang pemasaran secara dalam talian.
Portal MyAssist MSME merangkumi empat komponen utama iaitu pusat maklumat PKS, khidmat nasihat, padanan perniagaan dan ekspo perniagaan.
Dalam pada itu kata Syed Hussien, dimensi perniagaan hari ini sudah berubah dan memerlukan peniaga menerokai teknologi.
"Peniaga sudah perlu beralih kepada kaedah pemasaran produk menggunakan teknologi yang lebih relevan untuk tempoh pandemik ini.
"Usahawan dan PKS perlu sedar kepentingan digital bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan. Kita semua perlu bersedia dan siap siaga dengan kebiasaan baharu ini.
"Secara khusus, para usahawan dan PKS perlu mengambil peluang ini memahami, memahirkan diri serta bijak untuk menjadikan urusan dalam talian ini membawa keuntungan, terutama dalam perniagaan," jelasnya.
Inisiatif MyAssist MSME terkandung dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), yang diumumkan awal bulan ini sebagai rangka pemulihan ekonomi dalam usaha mengurangkan kesan impak pandemik global COVID-19 ke atas komuniti PKS di negara ini.
#PENJANA #MyAssist MSME #PKS #Gapan #Syed Hussien Al Habshee #Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin
;