MyAqsaDefenders sasar kumpul dana RM10 juta bantu Palestin

Afiezy Azaman
Mei 14, 2021 10:24 MYT
Agihan bantuan tersebut akan dibahagikan kepada bantuan kecemasan, bantuan jangka masa sederhana dan panjang.
KUALA LUMPUR: Gabungan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) dikenali sebagai MyAqsaDefenders mensasarkan untuk mengumpul RM10 juta bagi menyalurkan bantuan kepada Palestin.
Agihan bantuan tersebut akan dibahagikan kepada bantuan kecemasan, bantuan jangka masa sederhana dan panjang.
Setakat ini, sejumlah RM2 juta telah berjaya dikumpulkan oleh MyAqsaDefenders yang dan usaha mencukupkan dana tersebut sedang giat dijalankan.
"Daripada jumlah itu, dana sebanyak RM1 juta telahpun disalurkan bagi memenuhi keperluan membaik pulih Klinik Al-Aqsa yang terjejas disamping memastikan stok ubatan dan juga keperluan rawatan kecemasan sentiasa tersedia termasuk alatan seperti ventilator bergerak.
"Sebahagian daripadanya juga telah dimanfaatkan untuk bantuan kewangan segera kepada murabitin Al-Quds, bayaran kos guaman mereka yang telah ditangkap sama susulan insiden di Al-Aqsa atau Perkampungan Syeikh Al-Jarrah serta kafalah sara hidup penduduk Kota Lama Al-Quds.
"Sebanyak RM1 juta lagi telah diperuntukkan bagi bantuan membaik pulih infrastruktur dan juga rumah penduduk di Kota Lama al-Quds di dalam usaha untuk memastikan mereka dapat terus bertahan dan mengekalkan demografi rakyat Palestin di kawasan tersebut," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, sekretariat MyAqsaDefenders juga melancarkan serangan siber dan meminta rakyat Malaysia menularkan hantaran di laman media sosial dengan #ShameOnIsrael dan #KoyakIsrael bertujuan mengutuk tindakan kekejaman mereka.
"Kempen ini berjaya tular serta memberi impak kepada Israel di Facebook, Instagram dan juga Twitter sehingga carian maksud perkataan ‘koyak’ turut meningkat di laman sesawang," ujarnya.
MyAqsaDefenders turut menyeru seluruh rakyat Malaysia dengan pelbagai latar agama dan kaum untuk bersuara serta menyokong perjuangan Palestin dalam mempertahankan negara mereka yang dirompak sejak tujuh dekad lalu.
"MyAqsaDefenders juga menggesa masyarakat Malaysia untuk melihat isu Palestin ini diangkat bukan semata terkait hal keagamaan, namun ia terkait dengan persoalan ketidakadilan, pencabulan hak asasi manusia dan juga krisis kemanusiaan sejagat.
"Kami mengalu-alukan penglibatan dan sokongan mana-mana institusi, NGO, tokoh-tokoh berpengaruh dan para artis untuk bersama menanam tekad untuk mempertahankan Masjid Al-Aqsa dan Kota Al-Quds.
MyAqsaDefenders dirintis anak-anak muda terdiri daripada gabungan aktivis kemanusiaan yang telah lama berkecimpung dalam usaha membantu Palestin, di samping tokoh-tokoh korporat, para artis serta ‘influencer’ yang bersetuju untuk sama-sama mendokong dan mempertahankan Kota Suci umat Islam daripada terus dinodai.
Antara gabungan NGO itu termasuk Cinta Gaza Malaysia (CGM), MAPIM Malaysia, Global Peace Mission Malaysia, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, MizzNina dan Noh Salleh serta Faizal Tahir.
#NGO #Islam #rakyat Malaysia #Masjid Al-Aqsa #Palestin #serangan siber #Israel #Gaza #MyAqsaDefenders
;