#MyAPEC2020: Perlu sedia urus cabaran perubahan iklim, bencana alam - Darell
Harits Asyraf Hasnan
Januari 6, 2020 13:19 MYT
Januari 6, 2020 13:19 MYT
Setiap anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) perlu bersedia dalam mengurus cabaran perubahan iklim dan bencana alam.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata cabaran tersebut bukan sahaja ancaman kepada flora dan fauna, malah menjejaskan ekonomi dan kelangsungan rakyat.
"Malaysia mengakui bahawa perubahan iklim global memberi kesan yang telah mengakibatkan peningkatan kekerapan, magnitud dan skop bencana alam seperti kebakaran hutan, gempa bumi, tsunami dan letusan gunung berapi.
"Setiap ekonomi kini terdedah kepada ancaman ini dan kita mesti bersedia dalam menguruskan situasi ini sama ada secara individu sebagai sebuah ekonomi atau secara kolektif sebagai sebuah rantau (Asia Pasifik).
"Bencana alam ini memberi cabaran hebat terhadap rantaian bekalan global, menjejaskan kesihatan dan mobiliti rakyat serta mengancam nyawa haiwan dan spesies terancam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain Malaysia, Australia, Jepun, China, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Amerika Syarikat merupakan antara 21 anggota ekonomi APEC.
Tambahnya, Kerajaan Malaysia selaku tuan rumah APEC 2020 turut menzahirkan rasa simpati kepada Australia atas kejadian kebakaran yang melanda bahagian tenggara ekonomi APEC itu.
"Sebagai tuan rumah APEC 2020, Malaysia bersama dengan Australia dalam menyokong usahanya melawan kebakaran hutan dan kami berdoa agar keadaan kembali normal.
"Kami juga menyeru semua anggota ekonomi APEC untuk bersama-sama menyokong usaha yang sama untuk mengurangkan, bertindak balas dan memulih semula siatuasi darurat dan bencana alam di seluruh rantau kita," ujarnya.
Media tempatan melaporkan, kira-kira 24 orang dipercayai maut dalam kebakaran hutan yang berlaku melibatkan tiga negeri di Australia.
Sehingga kini, dianggarkan 2,000 kediaman penduduk musnah selepas kebakaran hutan terburuk itu membakar sehingga kira-kira 5 juta hektar kawasan tanah.
#APEC 2020
#Australia
#bencana alam
#Kebakaran Australia
#kebakaran hutan
#MyAPEC2020
#perubahan iklim