#MyAPEC2020 perlu juarai keselamatan dan privasi data serantau

Harits Asyraf Hasnan
Januari 4, 2020 13:37 MYT
Menerusi Laporan Polisi Ekonomi 2019 yang dibentangkan APEC baru-baru ini, keselamatan dan privasi data menjadi cabaran utama dalam mengembangkan ekonomi digital di rantau ini. - Gambar Hiasan
Malaysia selaku tuan rumah Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 perlu menyahut cabaran menerusi Pengaturan Penguatkuasaan Privasi Rentas Sempadan APEC (CPEA).
Penganalisis politik dan media sosial, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, keterbukaan perkongsian data masih kurang berpotensi di negara ini.
“Individu, perniagaan dan kerajaan sering menghadapi halangan terhadap akses data yang mungkin dikekang oleh keengganan untuk berkongsi termasuk peraturan yang ditetapkan oleh sesuatu organisasi atau sektor.
“Jadi, pihak berkepentingan perlu menghadapi beberapa risiko apabila berkongsi data seperti risiko keselamatan digital, dan juga pelanggaran privasi serta pelanggaran kepentingan peribadi sah yang lain seperti kepentingan komersil,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambahnya, walaupun wujud inisiatif dalam kalangan agensi kerajaan mahupun swasta melibatkan privasi dan keselamatan data, namun ia dilihat masih belum menyeluruh.
“Maka, Malaysia perlu menyahut cabaran ini dan perlu bersedia untuk menangani cabaran-cabaran ini kerana sesetengah agensi kerajaan dan swasta telah membawakan pelbagai inisiatif tetapi inisiatif ini tidak merangkumi secara keseluruhan melibatkan sesuatu sektor agensi di sesuatu peringkat.
“Di samping itu, masih terdapat keperluan untuk merangka kerja tadbir urus data supaya ia menjadi koheren merentasi sektor ekonomi, masyarakat dan negara termasuk di seluruh organisasi dan sektor-sektor kerajaan,” ujarnya.
CPEA atau APEC Cross-border Privacy Enforcement Arrangement telah diluluskan Menteri-menteri APEC pada 2009 dan dilaksanakan pada Julai 2010.
Pengaturan itu bertujuan untuk memudahkan perkongsian maklumat di kalangan Pihak Berkuasa Penguatkuasaan Privasi dalam ekonomi APEC selain menyediakan mekanisme mempromosi kerjasama rentas sempadan yang berkesan antara pihak berkuasa dalam penguatkuasaan Undang-undang Privasi.
Malah, ia juga berperanan menggalakkan perkongsian maklumat dan kerjasama mengenai penyiasatan dan penguatkuasaan privasi dalam kalangan pihak berkuasa rantau APEC.
Bagaimanapun, menerusi Laporan Polisi Ekonomi 2019 yang dibentangkan APEC baru-baru ini, keselamatan dan privasi data menjadi cabaran utama dalam mengembangkan ekonomi digital di rantau ini.
#APEC #APEC 2020 #CPEA #keselamatan data #Malaysia #MyAPEC2020 #pribasi data #UiTM
;