MyAPEC2020: Penyelidikan melalui APEC tingkat peranan wanita perangi rasuah
Harits Asyraf Hasnan
Februari 11, 2020 11:45 MYT
Februari 11, 2020 11:45 MYT
Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) perlu meningkatkan usaha dalam mewujudkan sistem yang bukan sahaja akan memperkasakan wanita di semua peringkat tetapi juga mewujudkan struktur memerangi rasuah.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, peranan wanita dalam memerangi rasuah masih memerlukan lebih banyak kajian dan penyelidikan dalam usaha membentuk satu sistem yang lebih berkesan terutama dalam sektor awam dan swasta.
“Meminda undang-undang dan institusi sahaja tidak dapat menyelesaikan segala-galanya.
“Kita memerlukan sikap yang tepat untuk mengubah dari budaya dominasi-lelaki dan kelab lelaki, kepada yang melihat sumbangan adalah sumbangan, tanpa mengira jantina.
“Mesej dari golongan atasan adalah kunci utama ketika memerangi rasuah. Kerajaan ini komited untuk memerangi rasuah dalam semua situasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk “Wanita, Rasuah dan Peranan dalam Memeranginya" seiring perasmian Simposium ‘Gender Mainstreaming and Women Empowerment to Fight Corruption’ di sini hari ini.
Program tersebut melibatkan Kumpulan Kerja Pakar Anti-Rasuah dan Ketelusan (ACTWG) 2020 seiring penganjuran Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Pertama (SOM1) APEC 2020.
Tambahnya, anggota APEC perlu mengangkat peranan wanita terutama di peringkat akar umbi dalam merangka jawatankuasa perjanjian anti-rasuah serta penggubalan undang-undang.
“Ingin saya tegaskan, untuk kita mempunyai pelan efektif dalam memerangi rasuah yang dihadapi oleh wanita, kita memerlukan pendekatan ‘bottom up’ yang intensif untuk melibatkan wanita dari pelbagai lapisan masyarakat.
“Terlibat dalam pemetaan komuniti dalam menghasilkan dan menganalisis maklumat mengenai punca rasuah dan cara menanganinya di agensi awam,” jelas Wan Azizah.
#APEC
#APEC2020
#Dr Wan Azizah Wan Ismail
#MyAPEC2020
#peranan wanita memerangi rasuah
#Rasuah
#Timbalan Perdana Menteri
#undang-undang
#Wan Azizah Wan Ismail
#wanita