#MyAPEC2020: Elemen keterangkuman, kemampanan, teknologi digital akan dimasukkan dalam Visi APEC Pasca-2020
Firdaus Azil
Februari 22, 2020 18:21 MYT
Februari 22, 2020 18:21 MYT
Cabaran di peringkat global seperti perang dagang Amerika Syarikat-China dan penularan wabak COVID19 membuktikan pentingnya elemen keterangkuman, kemampanan serta digital ekonomi diterapkan dalam perdagangan dan perniagaan di masa akan datang.
Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan Kerjasama Ekonomi Asia Pasific 2020 (APEC 2020), Hairil Yahri Yaacob berkata, berdasarkan sesi yang berlangsung selama dua hari di Putrajaya itu, tiga elemen berkenaan dijangka dimasukkan dalam pembentukan draf Visi APEC Pasca-2020.
Selain itu, beliau berkata, dapatan dari mesyuarat pegawai kanan seterusnya di Kota Kinabalu dan Pulau Pinang akan turut dimasukkan dalam visi itu, sebelum dibentangkan dan dimuktamadkan kepada pemimpin APEC pada penghujung tahun ini.
“Memang perniagaan teras APEC adalah mempromosi perdagangan dan pelaburan, untuk mempunyai perdagangan bebas, tetapi pada masa yang sama, kita hidup dalam landskap global masa kini, keterangkuman dan kemampanan adalah sangat penting. Jika tidak, apa yang tinggal untuk generasi akan datang.
“Ini merupakan apa yang saya dapati dari sesi (mesyuarat kali ini), dan saya percaya elemen keterangkuman, kemampanan, dan juga teknologi digital, akan dimasukkan dalam draf itu, sebagai tambahan kepada usaha kita untuk meliberalisasikan perdagangan dan pelaburan, yang merupakan perniagaan teras APEC selama tiga puluh tahun,” katanya lagi.
Hairil Yahri berkata demikian kepada sidang media selepas berakhirnya Mesyuarat Pegawai Kanan APEC, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, memandangkan dunia kini sedang dilanda wabak COVID-19, pihak sekretariat mengambil inisiatif mengadakan telekonferens bagi memastikan mereka yang tidak dapat hadir, terutama sekali dari China untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam sesi itu.
Selain itu, sebagai usaha mengawal impak COVID-19, pihak sekretariat telah mengambil pelbagai langkah tambahan dalam memastikan keselamatan delegasi, termasuk menyediakan pusat kesihatan, serta pegawai yang bersedia sepanjang masa.