Myanmar mampu muncul pemain ekonomi ASEAN
Nurulhana Ismail
November 16, 2015 21:25 MYT
November 16, 2015 21:25 MYT
Kemenangan parti politik Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi dalam pilihan raya Myanmar mampu meningkatkan keupayaan ekonomi Myanmar ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih memberangsangkan.
Pensyarah University of Queensland, Dr Gerhard Hoffstaedter berkata, beberapa isu dalaman perlu diselesaikan bagi memastikan rancangan pelaksanaan sistem ekonomi yang lebih mampan dapat direncanakan dengan lebih berkesan.
Beliau yang juga penganalisis politik dan pejuang hak asasi manusia berkata, antara aspek yang perlu ditangani dan diperbaharui adalah isu berkaitan etnik Rohingya serta masalah pengangguran yang berada pada kadar membimbangkan.
Dr Gerhard berkata, kemenangan NLD akan membuka lebih banyak ruang demokrasi di Myanmar dan sudah tentunya akan menarik kembali pelarian terutama kalangan etnik Rohingya untuk pulang ke negara asal mereka dan merebut peluang ekonomi yang saksama dan sama rata.
"Ramai pelarian yang berkemahiran tinggi dan profesional telah lari meninggalkan Myanmar susulan konflik etnik yang berlaku di negara yang sebelum ini ditadbir oleh junta itu.
"Dengan peralihan sistem demokrasi ini diharap akan memujuk dan meyakinkan mereka menghidupkan dan membangunkan golongan rakyat kelas pertengahan," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI di sini, baru-baru ini.
Katanya, Myanmar yang ketika ini masih berada di paras kemiskinan mempunyai potensi untuk berkembang dengan pada kadar pantas.
Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Myanmar adalah negara anggota terakhir dengan sumber-sumber kekayaannya masih belum dieksplorasi.
"Terdapat lebih 50 juta penduduk di Myanmar dan itu adalah satu pasaran yang cukup besar dan saya rasa rakyatnya adalah antara sumber utama negara itu," katanya lagi.
Statistik menunjukkan 37 peratus penduduk Myanmar masih tidak mempunyai pekerjaan dan 26 peratus lagi masih berada di bawah paras kemiskinan.
Selain itu, katanya, kemenangan itu mampu menarik para pelabur selain China yang dilihat agresif dalam pelaburannya di negara itu.
"Antara sektor yang boleh diterokai sudah tentunya infrastruktur. Ada banyak rangkaian jalan raya yang amat memerlukan pelaburan baharu dan ketika ini pun sudah ada projek yang sedang dalam perancangan.
"Kita juga melihat China sejak sekian lama telah mengambil peranan utama dalam pembangunan di Myanmar ketika zaman pentadbiran junta lagi dan kita mahu melihat lebih banyak negara turut serta dalam transformasi ekonomi ini," katanya.
Liberalisisi ekonomi telah dilakukan di Myanmar sejak 2011 di bawah pimpinan Presiden Thein Sein dengan beberapa perubahan besar dilakukan dalam polisi negara itu.
Antaranya adalah polisi antikorupsi, kadar pertukaran asing, undang-undang pelaburan asing dan percukaian.
Perubahan ini menyaksikan peningkatan dalam pelaburan asing sebanyak 66.7 peratus jika dibandingkan dari 2009 hingga 2011.