Myanmar digesa tidak halang Malaysia salur bantuan kemanusiaan
Rahimah Abdullah
Januari 8, 2017 16:29 MYT
Januari 8, 2017 16:29 MYT
Kerajaan Myanmar digesa agar tidak melakukan sekatan terhadap Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada etnik Rohingya di negara itu.
Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar menyifatkan halangan yang dilakukan Myanmar sebagai satu diskriminasi dan melanggar prinsip ASEAN.
"Kita kena tengok pada keputusan retreat. Keputusan retreat adalah mereka bersetuju untuk membenarkan bantuan kemanusiaan dibawa masuk.
"Itu keputusan core dalam retreat semasa di Yangon baru-baru ini," katanya dalam sidang media selepas berucap melancarkan Forum dan Solidariti Antarabangsa Bersama Rohingya 2017 di bangunan Institut Integriti Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, gabungan NGO Malaysia dilapor dihalang memasuki Myanmar untuk menyalurkan bantuan kemanusian kepada warga Rohingya.
Beliau mempersoalkan tindakan Myanmar yang sedia membenarkan Indonesia menyalurkan bantuan kemanusiaan tetapi menyekat usaha dilakukan negara.
"Sebagai ahli dia tidak boleh diskriminasi. Kerajaan Myanmar membenarkan Indonesia membawa bantuan, tetapi mengapa tidak benarkan Malaysia?" kata beliau lagi.
Menurut Syed Hamid, Malaysia tidak mempunyai niat lain selain hanya mahu membantu penduduk Rohingya memperoleh bantuan yang sewajarnya.
"Kita bukan nak datang (ke Myanmar) dengan membawa tentera untuk menggunakan kekerasan. Kita datang sebab dunia tahu bahawa orang di Barat Myanmar perlu bantuan kemanusiaan. Jadi, kenapa tidak benar Malaysia masuk?
"Semasa dia (Myanmar) susah dan tidak mempunyai pekerjaan, kita masukkan orang Myanmar ke sini (untuk beri pekerjaan). Jadi kita harap Myanmar patuh pada semangat ASEAN."
Katanya, bantuan berkenaan adalah sepenuhnya daripada sumbangan rakyat Malaysia yang dibawa masuk melalui NGO.
Beliau turut menyifatkan bantahan Malaysia terhadap pembersihan etnik Rohingya di Myanmar sebagai dasar luar baharu negara yang menuntut negara-negara ASEAN lain turut memberi sokongan terhadap usaha berkenaan.
Dalam pada itu katanya, kira-kira 50,000 pelarian Rohingya berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) di negara ini.
Manakala, ribuan lagi termasuk lain-lain etnik dilaporkan masih tidak berdaftar.
Sementara itu, Pusat Rohingya ASEAN (ARC) akan membawa cadangan menjadikan 2017 sebagai tahun solidariti antarabangsa bersama Rohingya ke persidangan OIC 19 Januari ini.
Menurut Pengarah Eksekutifnya, Dr Mohd Helmi Ibrahim, usaha itu bagi menghentikan kekejaman dan penindasan kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya.
"Harapan kami apabila OIC isytihar (2017 tahun solidariti antarabangsa bersama Rohingya), maka kami harap ia dibawa ke ASEAN dan seterusnya ke PBB.
"Masyarakat barat kurang jelas apa berlaku, maka ini akan beri platform untuk Rohingya supaya hak mereka dihormati seluruh dunia," ujarnya.