Myanmar digesa hentikan serta-merta penindasan Rohingya - PM
Israr Khalid
Januari 19, 2017 15:46 MYT
Januari 19, 2017 15:46 MYT
Malaysia menggesa kerajaan Myanmar menghentikan serta-merta segala bentuk penindasan terhadap etnik Rohingya dan mereka yang bertanggungjawab atas perlakuan itu perlu dibawa ke muka pengadilan.
Tegas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, masyarakat minoriti itu harus diberi perlindungan segera tanpa menunggu laporan daripada mesyuarat jawatankuasa yang membincangkan hal tersebut dalam masa beberapa bulan lagi.
"Kerajaan Myanmar menafikan istilah 'genosaid' dan 'pembersihan etnik'. Apa pun terminologinya, orang Rohingya tidak boleh tunggu.
"Tidak lagi apabila keluarga mereka dalm risiko dibakar hidup-hidup dalam rumah mereka sendiri, tidak lagi apabila isteri dan anak mereka dicabuli, tidak lagi apabila komuniti mereka dimusnahkan, orang-orang mereka hidup melarat, tidak lagi apabila masa depan anak muda mereka dimusnahkan di hadapan mata kepala mereka sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai Situasi Etnik Minoriti Islam Rohingya di Myanmar di sini hari ini.
Jelas Najib, akar permasalahan perlu ditangani segera dengan mencari solusi yang mapan, komprehensif berjangka panjang untuk manfaat semua pihak terlibat.
Maklum Perdana Menteri, Malaysia sentiasa menjadi negara paling prihatin dengan kesengsaraan rakyat Rohingya, tergambar dengan keberadaan hampir 55,000 warga etnik itu di negara ini yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).
Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia sedia menghulurkan bantuan sejumlah RM 10 juta bagi membantu usaha kemanusiaan dan projek pembangunan sosial di Rakhine, Myanmar.
Dana itu katanya akan digunakan untuk pembangunan infrastruktur seperti pendidikan dan institusi perubatan untuk memperbaiki kualiti kehidupan masyarakat wilayah itu.
Sehubungan itu beliau juga menggesa kerajaan Myanmar menyediakan akses untuk kemasukan bantuan kemanusiaan ke kawasan terjejas, selain memudah carakan kepulangan pelarian ke penempatan mereka.
"Justeru saya menyeru OIC, atas nama dan semangat solidarity Islam untuk mengiktiraf ini sebagai usaha kolektif kita untuk membantu saudara kita di wilayah Rakhine.
"Ia menjadi tanggungjawab kita untuk melakukan segala yang terdaya untuk menyelamatkan mereka daripada tragedi kemanusiaan dan membantu menyediakan masa depan yang selamat, mampan dan bermaruah yang sepatutnya menjadi hak setiap manusia," ujarnya.
Mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman itu dihadiri para menteri luar dan delegasi daripada semua 57 negara anggota OIC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).