MYAirline kini terbang ke Pulau Pinang, destinasi kedua di wilayah utara

Bernama
Disember 24, 2022 09:30 MYT
Chow Kon Yeow (kanan) dan CEO MYAirline Rayner Teo bergambar bersama replika pesawat MYAirline di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP). -Bernama
GEORGE TOWN: Penerbangan sulung syarikat penerbangan tambang rendah terbaharu Malaysia, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) mendarat di Pulau Pinang pada Jumaat, sekali gus menjadi destinasi kedua di wilayah utara serta melakar detik bermakna dalam strategi rangkaiannya.
Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline Rayner Teo berkata selain menjadi laluan terbaharu syarikat, Pulau Pinang turut berperanan sebagai antara destinasi utama di negara ini.
"Penumpang kini boleh menikmati harga tambang yang lebih berpatutan ke Pulau Pinang.
"Kami juga yakin kehadiran MYAirline akan menggalakkan lagi pertumbuhan ekonomi, tidak hanya untuk negeri ini tetapi juga negeri-negeri lain di wilayah utara.
"Selain tu, kami turut menyaksikan permintaan menggalakkan daripada kalangan pelancong sejak pelancaran pada 1 Disember lepas dengan faktor muatan keseluruhan melebihi 85 peratus.
"MYAirline akan terus meningkatkan kekerapan penerbangan menerusi pengembangan rangkaian laluan (dari semasa ke semasa)," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dekat sini, pada Jumaat.
Penerbangan sulung membawa penumpang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) itu mendarat di PIA pada 1 tengah semalam.
Rayner berkata, sebagai permulaan syarikat itu akan melakukan penerbangan sekali sehari ke PIA dan ditambah kepada dua kali sehari mulai 7 Januari depan dan seterusnya tiga kali sehari mulai 15 Mac 2023 bagi membolehkan penumpang menikmati kemudahan mengatur perjalanan mereka secara lebih fleksibel.
MYAirline kini menyediakan perkhidmatan ke lapan destinasi domestik iaitu Kuching, Kota Kinabalu, Langkawi, Kota Bharu, Sibu, Tawau, Miri dan Pulau Pinang.
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang hadir menyambut ketibaan penumpang penerbangan sulung itu berkata sebagai hab ekonomi di utara Malaysia, negeri tersebut mengalu-alukan kehadiran MYAirline yang juga penyumbang ekonomi serta pelancongan.
"Kami yakin MYAirline dapat mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai antara destinasi utama aktiviti ekonomi dan pelancongan di Malaysia.
"Saya juga menghargai MYAirline di atas sokongan dalam membina semula sektor pelancongan ini," katanya.
Chow berkata PIA juga telah mencatat peningkatan ketara sebanyak 3.64 juta penumpang bagi tempoh Januari hingga 30 Nov lepas berbanding 366,000 penumpang dalam tempoh sama pada 2021.
Menurutnya, walaupun jumlah tersebut melonjak 10 kali melebihi angka tahun lepas, jumlah itu masih rendah berbanding tempoh sebelum pandemik.
"Bagaimanapun, angka ini sudah menjadi petunjuk baik bahawa pelancongan kini semakin pulih dengan baik di negeri ini. Jumlah kehadiran pelancong dalam tempoh terdekat juga memaparkan peningkatan.
"Kami berharap 2023 akan menyaksikan kehadiran lebih banyak penerbangan keluar masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang dapat memacu industri pelancongan negeri ini," katanya.
-- BERNAMA
#MYAirline #sektor pelancongan #Rayner Teo #pulau pinang
;