MYAirline kini ke Miri, destinasi ketiga di Bumi Kenyalang
Afiq Ariffin
Mac 2, 2023 09:00 MYT
Mac 2, 2023 09:00 MYT
MIRI: Syarikat penerbangan tambang rendah terbaharu Malaysia, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) kini secara rasmi melebarkan sayap ke Miri selepas selamat menjalankan penerbangan sulungnya dari Kuala Lumpur ke destinasi itu, pada Rabu.
Ini sekali gus menjadikan Miri sebagai destinasi ketiga bagi syarikat penerbangan itu melakukan pendaratan di Bumi Kenyalang, selepas Kuching dan Sibu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline, Rayner Teo, pemilihan Miri sebagai destinasi terbaharu bagi syarikat itu adalah disebabkan daerah itu mempunyai daya tarikan pelancongan yang besar dan menarik selain daripada mempunyai kekuatan dari segi sektor ekonomi, khususnya industri petroleum.
“Kami sangat teruja untuk mengumumkan pelancaran destinasi ketiga kami ke negeri Sarawak dengan penerbangan sekali sehari ke Miri.
“Laluan ini mampu menjadi kunci perjalanan kepada pelbagai lapisan penumpang tidak kira sama ada melibatkan pengembara perniagaan dalam industri petroleum, pencinta alam, pengunjung festival, dan banyak lagi,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Miri, pada Rabu.
Malah kata beliau juga, disebabkan terdapat permintaan yang tinggi pihaknya akan menambah kekerapan penerbangan itu secara berperingkat.
“Miri mempunyai semuanya. Oleh itu, kami berminat untuk merancakkan lagi sektor ekonomi tempatan dengan menyediakan jadual penerbangan yang mudah selain menjadikan ia daya tarikan pelancong dengan penerbangan dua kali sehari mulai 15 Mac 2023,” tambahnya.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin yang turut menyertai penerbangan sulung MYAirline ke Miri berkata penerbangan ke daerah itu diyakini akan memacu sektor ekonomi, pelancongan dan perniagaan.
“Penambahan laluan ini ke senarai MYAirline adalah tepat pada masanya. Malah, saya telah mencari lebih banyak syarikat penerbangan untuk terbang ke Sarawak.
“Miri juga merupakan bandar kedua terbesar di Sarawak, dengan pelbagai aktiviti ekonomi, seperti minyak dan gas, pelancongan, perladangan dan pembinaan kapal.
“Penerbangan yang mencukupi boleh menyediakan keterhubungan yang baik selain memudahkan perjalanan membawa masuk pelancong perniagaan, pelancong dan kargo udara.
“Sehubungan itu, saya juga amat berharap MYAirline akan memasukkan penerbangan terus destinasi antarabangsa tertentu ke Miri,” katanya.
Penerbangan sulung membawa penumpang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) itu ke Lapangan Terbang Miri selamat mendarat pada 12 tengah hari, semalam.
Biarpun laluannya pada ketika ini terdiri daripada destinasi seperti Kota Kinabalu, Kuching, Kota Bharu, Langkawi, Pulau Pinang, Sibu, Tawau dan Miri, pelbagai rancangan sedang dijalankan bagi meningkatkan lebih banyak destinasi dan kekerapan penerbangan di kawasan lain.