My30: Imbau kenangan zaman bas mini

Fauzi Suhaimi
Jun 28, 2020 17:47 MYT
Hoong, 40, pakej itu benar-benar membantu rakyat khususnya yang terkesan akibat pandemik COVID-19. - Astro AWANI / Isabelle Leong
Langkah kerajaan memperkenalkan pas perjalanan tanpa had My30 yang meletakkan kadar minimum perbelanjaan pengangkutan RM1 sehari seolah-olah menggambarkan kos tambang sewaktu zaman perkhidmatan bas mini.
Dengan kos RM1 kini, semua pengguna boleh melakukan perjalanan tanpa had di semua rangkaian pengangkutan awam dibawah jenama Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).
Bagi seorang pengguna tegar pengangkutan awam sejak zaman bas mini, Cheong Sze Hoong, 40, pakej itu benar-benar membantu rakyat khususnya yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
"Apabila kerajaan mengumumkan pakej My30 yang meletakkan kadar minimum sebanyak RM30 untuk 30 hari atau hanya RM1 sehari tanpa had perjalanan, saya membayangkan sewaktu saya menggunakan bas mini.
"Pada ketika itu, seingat saya, pada nilai RM1, saya boleh membuat perjalanan dalam beberapa destinasi bermula dari rumah ke tempat kerja, dari tempat kerja ke pusat beli belah dan sebagainya," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Ahad.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan Program My30 di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana) dengan bayaran RM30 sebulan untuk pas perjalanan tanpa had bagi pengangkutan awam di bawah seliaan Prasarana di Lembah Klang berkuat kuasa 15 Jun hingga Disember 2020.
Turut berkongsi perasaan gembira, Eddy Sumantri Mohd Talhah, 30, memberitahu, usah itu amat bertepatan memandangkan banyak pihak terjejas akibat COVID-19 terutamanya yang berdepan pemotongan gaji.
"Pada saya ini memang satu langkah tepat kerana pada ketika ini ramai yang memerlukan perbelanjaan lain yang lebih mendesak selain mahu melakukan penjimatan dalam pengangkutan," katanya.
#Astro #Astro Awani #bas #ekonomi #kerajaan #Klang #koronavirus #Malaysia #menteri #Muhyiddin Yassin #nilai #pandemik #PAS #PENJANA #Perdana Menteri #prasarana #rakyat #rumah
;