'My Teksi' jadi perisai keselamatan penumpang teksi

Khairul Wasiril Aswad
Mac 19, 2013 23:40 MYT
Penggunaan aplikasi “My Teksi” untuk pengguna telefon pintar bagi mendapatkan perkhidmatan teksi, dilihat mampu menjamin keselamatan penumpang selain menurunkan kadar jenayah melibatkan perkhidmatan itu.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pelancaran perkhidmatan teksi secara mudah alih ini adalah yang pertama dilaksanakan di Malaysia.
“Tujuan perkhidmatan Coop MyTeksi diperkenalkan adalah bagi melahirkan rangkaian teksi maya terbesar di dalam negara sekaligus menaik taraf sistem pengangkutan melibatkan teksi di seluruh Malaysia”, kata Ismail.
Coop MyTeksi membolehkan penumpang menempah teksi melalui aplikasi MyTeksi yang dimuat turun pada telefon pintar dan tablet mereka termasuk tempahan melalui komputer.
Menurut Pengurus Besar MyTeksi, Adelene Foo, aplikasi ini lebih mementingkan keselamatan dan penjimatan masa para pengguna dengan menawarkan khidmat teksi yang lebih sistematik.
“Satu tempahan hanya mengambil masa kurang daripada satu minit sahaja dimana kedudukan sebenar pemandu teksi turut akan dikongsikan menerusi Global Positioning System (GPS)”, kata Foo.
Dalam pada itu, maklumat seperti jumlah harga, nombor telefon serta gambar pemandu yang berdaftar akan dihantar kepada pengguna menerusi sistem pesanan ringkas bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan penumpang.
Foo berkata, sehingga kini 30 buah koperasi teksi yang beroperasi di Lembah Klang termasuk Negeri Sembilan dan Melaka bernaung di bawah perkhidmatan Coop MyTeksi melibatkan jumlah keanggotaan seramai 2,460 orang.
“Ini merupakan satu peluang kepada MyTeksi untuk membantu lebih banyak pemandu teksi disamping memberikan perkhidmatan yang lebih bagus kepada orang awam”, tambahnya.
Difahamkan, pemandu teksi mampu meraih pendapatan sebanyak 200% peratus berbanding cara yang biasa dilakukan pemandu teksi setelah berdaftar di bawah Coop MyTeksi.
“Sekiranya seorang pemandu membuat 80 hantaran selama sehari, menerusi perkhidmatan teksi mudah alih ini pemandu mampu melakukan lebih 150 hantaran sehari secara purata”, kata Foo penuh teruja.
Pelancaran Gabungan Koperasi Pengankutan Wilayah Tengah Malaysia Berhad, sebuah entiti koperasi menengah negara yang mewakili 17 koperasi teksi di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Melaka dan Negari Sembilan pada Selasa menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama perintis penempahan teksi mudah alih Malaysia, MyTeksi Sdn. Bhd.
Majlis ini juga merupakan antara diinisiatif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menandakan permulaan baru bagi industri teksi malaysia selain memastikan orang awam mempunyai pengalaman perjalanan yang lebih selamat tanpa sebarang kerisauan.
.
#Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob #My Teksi #pemandu teksi #penumpang
;