'My English Matters' bantu individu perkasa bahasa Inggeris

Raja Hisyam Raja Zaid
Mac 6, 2021 12:30 MYT
Tiga beradik Aisya Shurfa, Amnah Shurfa dan Azimah Shurfa membantu dalam memperkasa Bahasa Inggeris dalam kalangan individu yang memerlukan. - Sumber foto myenglishmatters.com
TATKALA masyarakat berdepan kesukaran mencari rezeki, tidak ramai yang sanggup mengorbankan kepentingan peribadi untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik ketika kawalan pergerakan dilaksanakan ketika ini.
Namun, berbeza dengan tiga beradik Aisya Shurfa Mohammed Shukry, Amnah Shurfa Mohammed Shukry dan Azimah Shurfa Mohammed Shukry yang mengetepikan keuntungan dan menyumbang kepada masyarakat.
Jika sebelum ini kelas bahasa Inggeris yang diusahakan tiga beradik ini mampu menjana pendapatan lumayan, namun semua itu dilupakan selepas melihat kesusahan dihadapi rakyat Malaysia, terutamanya kalangan pelajar.
Ketiga-tiga mereka yang membesar di England ini telah mengadakan kelas Bahasa Inggeris berbayar sejak 2016 lagi, tetapi kini mula beralih melakukannya dalam talian menerusi Facebook secara percuma.
“Kami mula dengan membuat kelas online secara percuma dengan membuat pengumuman di Facebook.
"Lebih kurang 100 orang mendaftar dengan emel mereka.
“Sejak itu, lebih ramai mendaftar untuk mendapat tip secara percuma melalui emel mereka sehingga kini ada 30,000 orang langganan emel. Emel dihantar setiap minggu.
“Kami juga membuat bengkel, kursus dan kelas online, untuk dewasa yang ingin belajar lebih lanjut dan secara mendalam,” jelas Amnah ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
Bagi mereka, tiada yang rugi untuk membantu mereka terutamanya golongan dewasa bekerja yang mahu mempelajari bahasa Inggeris.
Malah ramai juga yang sentiasa menanti kelas yang diadakan seminggu sekali di laman “My English Matters” itu untuk mengemas kini pembelajaran Bahasa Inggeris yang diikuti mereka.
Jelas Amnah, kelas berbayar yang diusahakan masih diteruskan, namun mereka cuma mampu memberikan perkhidmatan percuma hanya seminggu sekali setakat ini kerana kekangan masa dan tenaga pengajar.
“Buat masa ini, kita cuma adakan seminggu sekali sahaja.
"Sebab Azimah juga membuat kelas 'Learn English bersama Madam Azimah' di sebuah stesen radio tempatan percuma juga," katanya seraya mendedahkan kelas dalam taliannya boleh mencecah 400,000 tontonan pada setiap minggu.
Kelas percuma Amnah boleh diikuti pada setiap Selasa, jam 10 pagi di Facebook MyEnglishMatters.
#perintah kawalan pergerakan #PKP #Aisya Shurfa #Amnah Shurfa #Azimah Shurfa #COVID-19 #My English Matters #kelas dalam talian #Facebook
;