"My Darling", perkataan terakhir diungkapkan pengasas AmBank kepada isterinya

Bernama
Jun 10, 2014 07:51 MYT
Kes pembunuhan pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysian (AmBank) Hussain Ahmad Najadi - Gambar Fail
"My darling" adalah kata-kata terakhir diungkapkan pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian (AmBank) Hussain Ahmad Najadi kepada isterinya, Cheong Mei Kuen, sebelum beliau meninggal dunia, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu pada Selasa.
Cheong, 49, memberitahu mahkamah suaminya mengungkapkan kata-kata itu kepadanya selepas beliau ditembak di dada di kawasan letak kereta Kuil Kuan Yin di sini pada 29 Julai tahun lepas.
"Ketika saya menggosok dada suami saya, dia (tertuduh) menembaknya lagi di dada. Saya memandang suami saya dan memanggil-manggilnya "darling" tetapi dia tidak menjawab. Dia kemudian menatap wajah saya...dan kata-kata terakhirnya kepada saya adalah "my darling" dan selepas itu dia pergi buat selama-lamanya," kata Cheong dengan linangan air mata ketika memberi keterangan kepada mahkamah.
Cheong berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abd Karim pada perbicaraan Koong Swee Kwan, 45, yang didakwa membunuh Hussain, 75, di tempat letak kereta Kuil Kuan Yin di No.4 Lorong Ceylon, di sini pada 29 Julai tahun lepas.
Koong juga didakwa cuba membunuh Cheong.
Terdahulu, saksi pendakwaan ketujuh itu memberitahu mahkamah ketika keluar dari kuil, beliau mendengar bunyi mercun dan suaminya segera berpaling kepadanya lalu menjerit "darling". Cheong kemudiannya rebah ke tanah.
"Saya dengar lebih banyak bunyi seperti yang saya dengar sebelum itu dan tiba-tiba suami saya terjatuh di atas saya, tangan kiri saya pula berasa amat sakit," katanya.
Cheong berkata selepas itu beliau merasakan seseorang mengheretnya, memasukkannya ke dalam kereta dan mendengar orang berkata "Tung Shin Hospital".
"Saya masih ingat kereta itu membawa saya ke hospital, saya juga masih ingat yang saya berada di dalam bilik kecemasan hospital itu," katanya.
Ketika disoal selanjutnya oleh Yusaini tentang perasaannya selepas insiden itu, saksi itu berkata: "Saya rasa teramat sedih, saya tidak mahu dia pergi, saya mahu berada bersamanya".
Cheong turut menjelaskan beliau dan suaminya pergi ke kuil itu untuk bertemu tiga individu untuk membincangkan tentang hartanah yang terletak di luar kuil berkenaan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Azman Husin bersambung hari ini.
#ambank #ditembak #pengasas
;