My Aqsa Defender lancar kempen #IsraelCuak
Astro Awani
Oktober 9, 2023 20:09 MYT
Oktober 9, 2023 20:09 MYT
KUALA LUMPUR: Rakyat di negara ini diseru agar menggunakan media sosial untuk ‘menyerang’ Israel untuk mengutuk kekejaman tentera Zionis.
Menurut Pengerusi MyAqsa Defenders, Nadir Al Nuri Kamaruzaman, serangan itu adalah dengan memuat naik #IsraelCuak di laman media sosial masing-masing.
Jelasnya, tanda pagar itu juga adalah sebahagian daripada gelombang mega yang dilancarkan MyAqsa Defenders bersama puluhan NGO lain yang bersama-sama membela nasib rakyat Palestin.
“Kita ingin menghasilkan gelombang untuk ‘menggegarkan’ Israel dan kami menyeru untuk mana-mana pempengaruh, individu dan perkumpulan yang berani untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin yang ketika ini mempertahankan tanah air mereka dengan sertai gelombang ini.
“Operasi #TaufanAlAqsa yang bermula Sabtu lalu (7 Oktober) telah ‘menggegarkan’ entiti haram Israel dan ayuh kita bersama gegarkan sosial media kita dengan sokongan padu ini!. Kita tunjukkan suara-suara dari Malaysia!,” katanya.
Beliau menjelaskan, gelombang terbabit juga memberikan sokongan moral untuk rakyat Palestin di Gaza, Baitul Maqdis dan seluruh dunia yang ingin kembali secara mulia ke tanah air mereka
“Kita ingin memberikan tekanan kepada entiti haram Israel dan kuncu-kuncunya melalui kuasa media,” ujarnya.
Nadir Al Nuri berkata, kempen #IsraelCuak itu akan berlangsung selama 100 jam.
Selain kempen, NGO tersebut juga telah membuka Command Centre yang beroperasi 24 jam bertujuan melaporkan apa yang berlaku.