MV Mega Bakti selamat kembali daripada operasi SAR KRI Nanggala 402

Bernama
Mei 4, 2021 20:18 MYT
MV Mega Bakti adalah kapal sewaan TLDM yang mempunyai keupayaan utama untuk melaksanakan operasi SAR kapal selam. - Gambar/ Facebook TLDM/ Pemerintahan Kapal Selam
KOTA KINABALU: Kapal MV Mega Bakti selamat kembali di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar di sini hari ini selepas menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal selam KRI Nanggala 402 di Perairan Bali, Indonesia.
Sumber daripada Bahagian Perhubungan Awam, Markas Pemerintahan Kapal Selam, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu berkata kapal operasi SAR kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu tiba kira-kira jam 9 pagi ini.
Beliau berkata 54 kru pasukan mencari dan menyelamat itu diketuai koordinatornya Komander Mohd Hairul Fahmy Yob berada dalam keadaan baik dan selamat ketika tiba di pangkalan itu, serta akan melalui prosedur mendarat yang telah ditetapkan.
"Semua 54 kru itu yang terdiri dari tujuh pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dan tiga pegawai dan staf perubatan ATM, serta 44 kru MV Mega Bakti selamat tiba.
"Mereka yang terlibat menjalani ujian saringan COVID-19 setelah tiba bagi memastikan mereka bebas daripada pandemik itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
BACA: Tenggelamnya Nanggala 402: Kesemua 53 anak kapal selam meninggal dunia - TNI
BACA: MV Mega bakti fokus cari bukti tambahan milik KRI Nanggala
MV Mega Bakti adalah kapal sewaan TLDM yang mempunyai keupayaan utama untuk melaksanakan operasi SAR kapal selam, dan operasi KRI Nanggala 402 adalah yang operasi SAR kedua kapal itu selepas terlibat dalam pencarian MH370 dilaporkan hilang di Lautan Hindi pada 2014.
MV Mega Bakti belayar daripada Jeti Operasi Markas Pemerintahan Kapal Selam, Teluk Sepanggar di sini pada 22 April lepas sebelum tiba di Perairan Bali pada 25 April lepas, dan menamatkan operasi itu pada 30 April sebelum belayar pulang ke Kota Kinabalu.
Pada 25 April lepas Panglima Tentera Nasional Indonesia Hadi Tjahjanto dilaporkan mengumumkan KRI Nanggala 402 tenggelam dan semua 53 kru terkorban selepas kapal selam itu dilaporkan hilang pada 21 April.
Nanggala 402 | Semua 53 anak kapal disahkan maut
#MV Mega Bakti #TLDM #Pangkalan TLDM Kota Kinabalu #Teluk Sepanggar #SAR #kapal selam #KRI Nanggala 402 #Bali
;