Muzium Warisan Cina tarikan baharu pelancong ke Negeri Sembilan

Bernama
Disember 11, 2021 10:00 MYT
Aminuddin Harun (dua, kiri) melihat paparan video dari pemancar filem yang telah diubahsuai sambil mendengar penerangan dari Kurator Muzium, Chin Soong Kead. - Foto BERNAMA
SEREMBAN: Muzium Warisan Cina Negeri Sembilan yang mula dibuka hari ini bakal menjadi tarikan baharu di negeri ini, sekali gus berpotensi mengamit kedatangan pelancong domestik dan asing, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata Muzium Warisan Cina kedua di Malaysia itu memaparkan keunikan sejarah, warisan dan budaya Cina kepada orang ramai, selain mampu mewujudkan persefahaman dalam kalangan masyarakat untuk lebih mengenali mengenai sejarah, adat dan budaya kaum lain.
Beliau berkata muzium tersebut yang terletak di sini, mempamerkan barangan dan artifak yang berusia kira-kira 80 tahun seperti Pedang Seng Meng Lee, peralatan melombong biji timah, pawagam lama berusia lebih 70 tahun, gambar tokoh dan dokumen penting bersejarah.
"Semoga usaha yang dilakukan pihak Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan (DPCNS) ini akan memberi manfaat kepada generasi kini dan akan datang, bagi memahami sejarah lampau yang membentuk kecemerlangan pada hari ini," katanya ketika berucap merasmikan muzium berkenaan di sini, hari ini.
Beliau berkata sikap mengambil tahu akan budaya serta sejarah kaum lain merupakan nilai terpuji, lebih-lebih lagi Malaysia merupakan negara majmuk yang kaya dengan budaya, adat resam serta bahasa yang berlainan.
Katanya, adalah penting bagi setiap rakyat di negara ini untuk bersikap proaktif dan mengambil tahu tentang sejarah bangsa lain.
Menurut Aminuddin, usaha itu akan memberi impak jangka masa panjang bagi manfaat keharmonian negara.
Muzium yang terletak di tingkat dua DPCNS berkeluasan 2,195 kaki persegi itu, ditubuhkan pada 16 April lepas dan pihak muzium mengambil masa selama hampir tiga tahun untuk perancangan, kajian dan pengumpulan maklumat.
Muzium tersebut dibuka kepada awam setiap hari, kecuali Isnin mulai pukul 11 pagi hingga 5 petang.
-- BERNAMA

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!

#Aminuddin Harun #Muzium Warisan Cina #DPCNS #budaya
;