Muzium terapung feri ikonik Pulau Pinang beroperasi hujung tahun ini
Bernama
September 7, 2024 16:38 MYT
September 7, 2024 16:38 MYT
BUKIT MERTAJAM: Feri ikonik Pulau Pinang yang dijadikan muzium feri terapung di Tanjung Marina, di sini akan beroperasi penghujung tahun ini dan proses ubah suai telah mencapai 90 peratus.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Yeoh Soon Hin berkata sebuah lagi feri ikonik pula berada pada syarikat pemaju Ideal Property yang akan dijadikan restoran terapung dan kini ditempatkan di pesisiran laut di Queensbay, Bayan Lepas.
"Apa yang akan ada dalam muzium feri itu saya tidak mahu maklumkan sekarang dan biarlah semasa pelancarannya kita semua tahu mengenainya, tetapi saya boleh maklumkan muzium itu dijangka dibuka pada penghujung tahun ini," kepada pemberita selepas merasmikan Program "Jom Durian" Harga B40 Kualiti T20 di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Sebelum ini, Yeoh memaklumkan pihaknya memutuskan untuk melupuskan beberapa feri ikonik dengan kadar segera kerana kerja-kerja pembaikan tidak dapat dilaksanakan susulan pereputan yang serius dan tidak boleh diapungkan.
Beliau berkata terdapat beberapa syarikat telah datang untuk melihat feri ikonik berkenaan, namun tidak jadi dibeli kerana ia bukan sahaja memerlukan modal yang tinggi untuk dibaiki, malah kos penyelenggaraan yang mahal.
Sebelum ini SPPP telah memajak feri ikonik kepada beberapa syarikat yang layak untuk dijadikan produk pelancongan negeri pada 2021, namun hasrat menjadikan Feri Pulau Kapas sebagai restoran terapung gagal direalisasi susulan ketidakpatuhan pemajak terhadap perjanjian dan pajakan ditamatkan pada Februari 2023.
Perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang ditamatkan pada 2020 setelah beroperasi lebih 126 tahun dan digantikan dengan perkhidmatan bot laju untuk membawa penumpang individu serta feri bagi motosikal dan basikal.
-- BERNAMA