Muzium Lilin i-City: Penglibatan orang dalam disiasat

Aizat Sharif
Februari 5, 2014 09:14 MYT
Penglibatan orang dalam atau perbuatan khianat merupakan aspek yang masih lagi dalam siasatan polis berhubung kes kebakaran yang melibatkan 10 patung lilin di muzium lilin The Red Carpet, i-City di Shah Alam pada Rabu lepas.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kawasan tersebut kini telah dihantar kepada pihaknya untuk dianalisis.
“Kita pun sedang menyiasat apa sebenarnya yang sedang berlaku di tenpat tersebut dan kita akan meneliti kedua-dua teori samada masalah ini berpunca dari masalah dalam atau satu perbuatan sabotaj dari luar ,” katanya.
Persoalan kini timbul bagaimana suspek mampu berada dalam kawasan i-City meskipun tempat tersebut telah pun ditutup selepas waktu operasinya berakhirnya.
“Kawalan di kawasan tersebut agak ketat tetapi kita tertanya bagaimana suspek-suspek tersebut mampu masuk ke dalam kawasan tersebut. Buat masa sekarang ini, kita masih belum lagi mengenal pasti suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian itu,”.
Kejadian tersebut disiasat dibawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat ke atas bangunan.
Dalam kejadian yang berlaku pada Rabu lalu, rakaman CCTV berjaya merakamkan tiga individu menceroboh masuk ke kawasan muzium lilin itu dan kemudiannya membakar beberapa patung-patung lilin ikon antarabangsa seperti bekas Presiden China, Mao Zedong, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman selain bintang selebriti termasuk Jackie Chan.
Suspek dipercayai memasuki muzium tersebut melalui pintu masuk yang sering digunakan oleh pengawal keselematan taman tema tersebut.
Selain merosakkan patung lilin yang dipamerkan disitu kebakaran turut memusnahkan taman tema digital hingga menyebabkan kerugian ratusan ribu ringgit.
#CCTV #orang dalam #patung lilin #polis
;