Muzium, Galeri Seni BNM tawar pengalaman maya kepada pelawat

Sinar Harian
September 7, 2021 09:11 MYT
Antara foto dipamerikan di Muzium Bank Negara menyaksikan rakyat kelihatan sibuk membeli belah di pasar yang diambil oleh Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada tahun 1923. - Foto Facebook/@BNM.MAG Art gallery
SHAH ALAM: Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG) menawarkan pengalaman maya dengan memulakan pendigitalan pameran dan program pendidikan kepada pelawat.
Pemangku Pengarah Jabatan Hospitaliti dan Muzium Bank Negara Malaysia (BNM), Noreen Zulkepli berkata, BNM MAG telah melancarkan tiga pameran maya yang baharu, bazar seni maya dan pelbagai program serta pertandingan secara dalam talian bagi enam bulan pertama ini.
Menurutnya, BNM MAG merupakan antara muzium yang terawal melakukan perkara itu.
“Norma baharu ini telah memberi peluang kepada kami untuk meneroka cara baharu dan inovatif untuk berhubung dengan masyarakat luar.
“Di samping itu, kejayaan kerjasama kami dengan pihak sekolah, kolej dan universiti dalam penganjuran pelbagai ceramah dan pertandingan sangat memberangsangkan dan berjaya mencapai jangkauan yang lebih luas.
“Kami juga menawarkan beberapa program tahunan utama secara dalam talian. Kami berhasrat untuk terus memacu ke hadapan dengan pameran dan program pendidikan yang dirancang serta bersedia untuk menyesuaikan diri dalam keadaan hibrid,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, Noreen berkata, antara pameran maya yang dijalankan adalah Karya Logam: Seni Mata Wang yang mana pelawat berpeluang meneroka peranan sejarah duit syiling sebagai salah satu bentuk pembayaran dan mendalami perkembangan seni penghasilan duit syiling.
Ujarnya, pelawat juga boleh mereka bentuk duit syilingnya sendiri dan berkongsi pendapat tentang masa depan wang logam yang berada di dalam dompet mereka.
Selain itu, tambahnya, pameran maya Scarcity pula bermanfaat bagi mereka yang ingin mempelajari tentang kecemasan iklim yang sedang berlaku.
“Boleh terokai kesan perubahan kecil dalam rutin harian anda bagi memelihara persekitaran kita dengan lebih baik dan ketahui mengapa isu perubahan iklim menjadi perhatian bank-bank pusat.
“Melalui pameran ini, pelawat juga boleh meneroka hubung kait antara perubahan iklim dan kekurangan (scarcity) melalui pelbagai medium seperti gambar, video dan permainan interaktif.
“Para pelawat juga dapat melihat video yang menerangkan sains di sebalik kecemasan iklim, melakukan aktiviti main peranan dan kajian kes tentang isu alam sekitar di seluruh dunia,” ujarnya.
Noreen berkata, pameran Keringat pula menampilkan 53 karya catan dan fotografi yang memaparkan usaha gigih para pendahulu negara dalam empat jenis pekerjaan semenjak era penjajahan di Tanah Melayu.
Ujarnya, antara seniman terdahulu dalam pameran itu ialah Yong Mun Sen (1896-1962, Sarawak), Abdullah Ariff (1904-1962, Pulau Pinang), Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah (1907-1979, Terengganu), Kuo Ju Ping (1908-1962, China), Chuah Thean Teng (1912-2008, China), Mohd Salehuddin (1914-tidak diketahui, Selangor), dan ramai lagi.
Sementara itu, Bazar Seni pula dijalankan secara maya yang mana menampilkan 30 orang bakat muda dengan pelbagai kemahiran dan menunjukkan gaya yang tersendiri.
“Untuk pertama kali, karya seni yang dijual, dipamerkan secara maya di platform Jari dan juga saluran media sosial BNM MAG.
“Bagi memupuk penghargaan yang lebih baik, semua karya dijual pada harga RM1,500 dan ke bawah. Sebarang maklumat lanjut, boleh layari www.museumbnm.gov.my/jari,” ujarnya.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#BNM #muzium #galeri seni #pengalaman maya
;