Muzium Darul Ridzuan tampil tema 'Ipoh segalanya di sini', jadi medium pendidikan dan pelancongan

Aida Aziz
September 14, 2024 11:50 MYT
Setelah ditutup bagi kerja naik taraf dan penyelenggaraan sejak Mac lalu, kini ia kembali bernafas baharu dengan diberikan beberapa nilai tambah. - Astro AWANI
IPOH: Muzium mampu menjadi medium pembelajaran dalam memberi pendedahan tentang sejarah negara dan dunia kepada masyarakat.
Selain itu ia sesuai dijadikan lokasi untuk membawa keluarga khususnya anak-anak ketika musim cuti sekolah.
Pembukaan semula Muzium Darul Ridzuan atau Muzium Ipoh di sini dengan tema 'Ipoh segalanya di sini: Dalam pesona Lembah Kinta pada 2 September lalu dilihat dapat menarik minat ramai pengunjung.
Setelah ditutup bagi kerja naik taraf dan penyelenggaraan sejak Mac lalu, kini ia kembali bernafas baharu dengan diberikan beberapa nilai tambah.
Ia dibuka setiap hari bermula 9 pagi hingga 5petang dan masuk percuma.
Terdapat beberapa segmen yang ditampilkan kali ini, antaranya tarikan dan keunikan Ipoh, Ipoh dan masyarakat dan pengaruh antara dua sungai.
Menurut Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee, tema kali ini khusus memaparkan tentang sejarah awal bandar raya Ipoh.
"Tarikan yang ada di sini, masyarakat boleh tahu asal usul nama Kinta, selain sejarah Ipoh, masyarakat Melayu dan perkampungan awal di sini.
"Ada juga kisah mitos yang dikaitkan dengan nama Kinta itu sendiri, cerita masyarakat awal iaitu Orang Asli, golongan bangsawan dan perkembangan Ipoh," katanya ketika ditemui.
Dalam pada itu, Nor Hisham turut berharap muzium di bawah kelolaan Lembaga Muzium Negeri Perak itu akan lebih produktif dan mempergiat lebih banyak aktiviti di masa depan, selain tidak hanya dibuka ketika waktu tertentu.
"Diharapkan kerajaan negeri dapat memberi lebih perhatian kepada muzium di bawah kelolaannya demi memastikan ia menjadi pusat tumpuan orang ramai.
"Kerana muzium merupakan institusi pendidikan, juga menjadi tarikan pelancongan. Sebenarnya ia mampu menjana pendapatan untuk negeri dalam jangka masa panjang.
"Ia juga berupaya boleh dijadikan institusi untuk menyampaikan dasar kerajaan serta memupuk perpaduan," katanya lagi.
Katanya, Lembaga Muzium Negeri Perak perlu lebih mempromosi aktiviti berkaitan muzium, di samping menggembleng kerjasama dengan pelbagai pihak seperti media arus perdana.
"Kita nampak usaha yang dilakukan mereka untuk merancakkan aktiviti di muzium dan muzium yang sebelum ini banyak ditutup sudah dibuka semula.
"Pengisian pameran juga berkonsep segar dan baharu, yang itu kita wajar beri pujian, diharapkan aspek lain turut diperbaiki seperti sediakan dwibahasa untuk keterangan pameran, kerana hanya ada bahasa Melayu.
"Ini kerana kebanyakan pengunjung juga terdiri daripada pelancong asing, dan bahasa Inggeris diperlukan untuk mereka faham apa yang hendak disampaikan.
"Perlu penambahan dari sudut artifak dan keterangan gambar, mungkin letak kapsyen yang bersesuaian untuk kefahaman para pengunjung,"katanya.
Terdapat dua muzium di bawah kerajaan persekutuan yang ditadbir oleh Jabatan Muzium Malaysia di Perak iaitu Muzium Perak dan Muzium Matang di Taiping.
Selain itu, terdapat sekurang-kurangnya tujuh muzium di bawah kelolaan kerajaan negeri yang ditadbir Lembaga Muzium Negeri Perak seperti Muzium Darul Ridzuan, Muzium Beruas, Kompleks Sejarah Pasir Salak dan Rumah Lat.
#pelancongan #muzium #Muzium Darul Ridzuan #pembukaan semula
;