Muzium Budaya Borneo mampu jadi pusat menimba ilmu - Abang Jo

Bernama
Mac 5, 2022 08:15 MYT
Tun Abdul Taib Mahmud (tengah) melihat artifak yang dipamerkan selepas merasmikan Muzium Budaya Borneo di sini malam ini. Turut hadir Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg (kanan). -Foto BERNAMA
KUCHING: Muzium Budaya Borneo (BCM) yang baru dilancarkan mampu menjadi pusat menimba ilmu dalam usaha memahami kekayaan sejarah, budaya dan alam semula jadi di kepulauan itu.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sebagai sebuah repositori bertaraf dunia, muzium itu juga mampu menarik ahli akademik dan penyelidik dari institusi tempatan mahupun antarabangsa.
Beliau berkata objektif muzium itu yang memacu penyelidikan akan menggalakkan masyarakat menghargai kepentingan penyelidikan dan diserap dengan budaya penyelidikan.
"Seperti yang dapat dilihat di negara-negara maju, masyarakat yang telah berakar umbi dengan budaya penyelidikan dan minda yang dipacu oleh data akan memiliki kemahiran analisis lebih baik untuk memperbaiki setiap aspek kehidupan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran rasmi BCM di sini malam tadi.
Muzium ikonik serba baharu itu mempamerkan lebih seribu artifak mewakili budaya dan sejarah Sarawak yang menakjubkan.
Pembinaan BCM bermula pada 2014 dan kos projek itu sebanyak RM323 juta dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sarawak.
Abang Johari juga berkata selain memelihara warisan, Jabatan Muzium Sarawak boleh memainkan peranan yang lebih besar terutama menyumbang ke arah pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Sarawak dengan menggalakkan pekerjaan serta kesan ekonomi secara langsung dan tidak langsung dalam sektor perkhidmatan.
Beliau berkata konsep menggunakan muzium sebagai rangsangan kepada pertumbuhan ekonomi budaya adalah konsep yang telah dibuktikan serta membuahkan hasil sekali gus menjadi lebih popular di negara maju dan membangun.
Mengambil contoh Muzium Bilbao Guggenheim yang terkenal di Sepanyol dan dibuka pada 1997, Abang Johari berkata ia telah mencipta kesan mengagumkan sehingga menjadi persekitaran yang mampu merangsang pembangunan seluruh bandar.
"Dengan lokasi strategiknya di pusat bandar Kuching dan peningkatan kebolehcapaian melalui sistem Transit Aliran Autonomi (ART) yang akan datang, saya yakin BCM mampu mencipta kesan sampingan yang ingin diwujudkan," katanya.
Muzium itu akan dibuka kepada umum mulai 9 Mac depan.
-- BERNAMA
#muzium budaya borneo #Abang Johari Tun Openg #BCM #repositori bertaraf dunia
;