Mustapa Mohamed dilantik Pengerusi Teraju
Harits Asyraf Hasnan
Januari 15, 2020 16:59 MYT
Januari 15, 2020 16:59 MYT
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed dilantik sebagai Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) untuk tempoh dua tahun.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan kepada media memaklumkan, pelantikan berkenaan telah mendapat persetujuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Bersesuaian dengan peranan Teraju sebagai sebuah agensi ulung untuk meneraju, memacu dan menyelaras penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara, saya yakin beliau akan dapat membawa agenda ekonomi Bumiputera seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
"Dengan kepimpinan yang baharu ini, saya pasti usaha berterusan yang akan dilaksanakan oleh Teraju akan meningkatkan daya saing Bumiputera sekali gus memantapkan lagi kedudukan Bumiputera dalam ekonomi negara," katanya.
Menurut Mohamed Azmin, selain dari sudut ekonomi, Teraju mempunyai peranan yang besar dalam menjamin kesejahteraan hidup serta mengangkat martabat Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi.
Selain sebagai bekas Menteri MITI, Mustapa juga mempunyai pengalaman luas dalam bidang ekonomi, kewangan, pendidikan dan perdagangan apabila pernah menjawat jawatan seperti Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2008-2009), Menteri Pengajian Tinggi (2006-2008), Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (2004-2006), Menteri Kewangan 2 (1998-1999), Menteri Pembangunan Usahawan (1995-1999) dan Timbalan Menteri Kewangan (1993-1995).
#agenda
#Azmin Ali
#Bumiputera
#Mahathir Mohamad
#MITI
#Mustapa Mohamed
#pendidikan
#Perdana Menteri
#Teraju
#Unit Peneraju Agenda Bumiputera
#usahawan