Kerajaan tidak cuba menyembunyikan kandungan rundingan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA), yang kini akan melibatkan 12 buah negara pada pusingan ke-18, yang akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah, dari 15 hingga 25 Julai ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini berkata, sebaliknya, kerajaan telah mengadakan pertemuan dan perundingan dengan pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang mempunyai kaitan dengan perundingan itu.

Oleh itu, katanya tidak ada bezanya pandangan NGO atau pun kerajaan di dalam rundingan TPPA, bahkan, kerajaan mengambil kira pandangan mereka termasuk juga parti pembangkang untuk kepentingan negara.

Menurutnya, tiga asas yang menjadi panduan kerajaan ketika melakukan rundingan TPPA ialah Perlembagaan Persekutuan, hubungan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan memandangkan kerajaan negeri mempunyai kuasa dalam soal tanah dan sumber alam serta dasar-dasar yang melindungi hak dan keistimewaan kaum Bumiputera.

Asas itu penting kerana kerajaan perlu mempertahankan kedaulatan negara dan tidak akan menggubal perlembagaan atau mengorbankan GLC, yang begitu penting kepada ekonomi negara daripada untuk mengikut telunjuk dan kepentingan asing, katanya.

"Jika Malaysia mendapati ada hal-hal yang besar yang menjejaskan kepentingan negara atau kedaulatan negara atau tidak boleh diterima oleh masyarakat Malaysia, kita akan ambil kira."

"Kita tidak akan mengorbankan kepentingan negara semata-mata untuk mengejar dateline (tempoh akhir perundingan)," katanya pada sidang media selepas menjadi anggota panel "Wacana Perjanjian Perdagangan Antarabangsa: Apa Untuk Malaysia ?" anjuran sebuah akhbar harian di sini hari ini.

TPPA dijangka dimuktamadkan menjelang Oktober, 2013.

Wacana itu yang turut disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Mohd Nizam Mashar.

Beliau berkata Malaysia menyertai rundingan TPPA, yang diusahakan oleh Amerika Syarikat itu kerana ia mampu memberikan akses yang lebih baik kepada barangan eksport Malaysia pada peringkat antarabangsa.

"Perjanjian seperti itu dapat meningkatkan mutu perkhidmatan, dengan mengurangkan karenah pentadbiran yang secara tidak langsung mampu mengurangkan gejala rasuah," katanya.

Sebagai sebuah negara perdagangan, beliau berkata Malaysia memerlukan penurunan cukai terhadap kelapa sawit di negara-negara yang mengimport komoditi negara, katanya, sambil menyatakan walau pun penyertaan dalam TPPA tidak semestinya akan meningkat pelaburan asing di Malaysia, tetapi ia akan menjadikan Malaysia salah satu destinasi pelaburan terbaik.

Selain itu, perjanjian itu akan dapat memberikan perlindungan kepada kepentingan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan seperti Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Kumpulan Sime Darby yang banyak melakukan pelaburan di luar negara.

Beliau berkata kerajaan prihatin dengan isu-isu yang cuba diketengahkan oleh Amerika Syarikat yang mungkin menjejaskan kepentingan negara dalam rundingan itu, seperti isu alam sekitar, isu hak cipta atau paten ubat-ubatan yang akan menyebabkan ubat untuk penyakit kanser atau HIV menjadi mahal serta isu kontrak kerajaan.

Katanya persatuan-persatuan kontraktor di negara ini, dalam pertemuannya dengan kementeriannya, juga telah menyuarakan kebimbangan mereka jika projek kerajaan seperti pembinaan sekolah bernilai RM25 juta dibuka kepada syarikat-syarikat luar seperti Amerika Syarikat akan menjejaskan pendapatan kontraktor tempatan.

Mengenai tempoh tiga bulan lagi bagi rundingan ditamatkan, Mustapa berkata para negara anggota akan cuba memastikan sebahagian besar dari TPPA itu akan dapat dimuktamadkan.

Sebanyak 11 negara TPPA - Australia, Brunei, Chile, Malaysia, Peru, Singapura, Amerika Syarikat, Vietnam, Mexico, Kanada dan New Zealand - akan disertai oleh Jepun, yang akan menyertai perundingan itu bagi pertama kalinya di Kota Kinabalu.