Mustahil untuk kekal harga kad prabayar seperti sebelum GST pada 1 Mei - SKMM

Astro Awani
April 29, 2015 19:33 MYT
SKMM berkata mustahil untuk pihak pembekal untuk melaksanakan pertukaran harga dalam tempoh dua hari ini kerana perlu pertukaran sistem.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini menjelaskan harga isian semula prabayar kekal dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas harga isian semula.
Ini bermakna isian semula RM10 akan dijual pada harga RM10.60.
Pengerusi SKMM Datuk Seri Dr Halim Shafie dalam satu kenyataan berkata kajian yang dijalankan bagi menilai sama ada pengguna cenderung kepada nilai isian semula yang lebih rendah dimana GST akan dikenakan.
Sebagai contoh, isian semula RM10 boleh berharga RM10.60 (termasuk harga GST) atau RM10 (dengan nilai RM9.43).
“Masih ada yang keliru jika harga kad prabayar akan kembali ke harga asal sebelum GST pada 1 Mei.
Namun, ia seperti mustahil untuk pihak pembekal untuk melaksanakan pertukaran dalam tempoh dua hari ini.
“Kedua, hasil kajian belum dikeluarkan lagi dan terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan pada peringkat ini,” katanya.
Dr. Halim turut berkata pihak ketiga yang menjual kad prabayar seperti institusi kewangan, penyedia pembayaran elektronik, pasaraya, stesen minyak dan semua ejen jualan lain berjumlah kira-kira 30,000 pihak akan mengalami kerumitan untuk menyusun semula sistem untuk kembali ke harga sebelum GST.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad berkata harga kad prabayar kekal kepada harga asal bermula 1 Mei.
Memetik laporan Sinar Harian, kesemua empat syarikat telekomunikasi telah diarah untuk mengekalkan harga asal berdasarkan kepada konsep 'tax inclusive' berkuatkuasa 1 Mei dalam satu surat pada 28 April. ‎
"Apabila arahan diberikan, syarikat telekomunikasi perlu akur kepada arahan Ketua Pengarah Kastam. Tidak ada alasan sama ada kad prabayar itu stok baharu‎ atau stok lama," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Kastam Diraja Malaysia.
Ketika diminta untuk komen tentang kedua kenyataan yang bercanggah ini, seorang sumber dalaman dari Jabatan Kastam berkata penguatkuasaan GST dilakukan oleh jabatan itu sendiri.
“Kenyataan SKMM adalah kenyataan SKMM. Pihak Kastam yang melakukan penguatkuasaan GST. Jadi harga prabayar akan kembali ke harga asal atau ‘face value’,” katanya kepada Astro AWANI.
#Dr Halim Shafie #GST #Jabatan Kastam #kad prabayar #Khazali Ahmad #SKMM
;