Mustafa Ali cabar Guan Eng berdebat isu Pilihan Raya PBT

Irwan Muhammad Zain
Januari 28, 2015 14:18 MYT
Mustafa Ali cabar Guang Eng berdebat isu Pilihan Raya PBT - Sumber Foto Hiekal Rosli
Selepas isu hudud, PAS dan DAP berbalah pula dalam kemelut isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang diluluskan kerajaan Pulau Pinang.
Sabtu lepas, DAP menerusi Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng mendakwa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung parti Islam itu, Datuk Mustafa Ali tidak bercakap benar apabila menyatakan mereka tidak dimaklumkan mengenai enakmen pilihan raya PBT yang diluluskan kerajaan Pulau Pinang.
Hari ini, Mustafa menyifatkan Guan Eng sebagai "bermulut celupar" kerana mendakwa beliau tidak bercakap benar dalam isu pilihan raya PBT.
Justeru, Mustafa mencabar Ketua menteri Pulau Pinang itu untuk bersemuka dan berdebat mengenai enakmen yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang itu.
“Tak kisahlah anda tulis macam mana, cabar ke atau apa tetapi yang penting saya mahu bersemuka dan berdebat dalam isu ini, supaya masing-masing dapat menjelaskan perspektif sebenar mengenainya.
"Supaya orang ramai boleh menilai siapa bercakap benar dan siapa bercakap bohong," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.
Guan Eng sebelum ini mendakwa sudah menghubungi Abdul Hadi dan Mustafa mengenai pilihan raya PBT yang mahu dilaksanakan di Pulau Pinang.
"Dia kata saya tak jujur. Saya nak jelaskan di sini, perkataan yang digunakan Guan Eng itu bukan sahaja tidak tepat, tak betul tetapi menggambarkan dia seorang yang mulut celupar
"Saya akui memang Lim menelefon saya berkait dengan pilihan raya PBT tetapi selepas enakmen itu diluluskan oleh DUN Pulau Pinang.
"Jadi dia telefon saya, dia kata jika ada media yang meminta komen mengenainya, tolong komen yang positiflah.
"Saya jawab...Insya Allah," katanya lagi.
Mustafa mendakwa Guan Eng pernah memberitahu beliau, enakmen itu dibuat selepas mendapat tekanan dari NGO yang meminta ia dilakukan kerana ada dalam manifesto DAP.
Katanya, selepas enakmen tersebut diluluskan, beliau dihubungi media untuk mendapatkan ulasan namun enggan memberi kenyataan kerana mahu mendengar penjelasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terlebih dahulu.
"Lepas itu, saya berdiam diri kerana saya jangka SPR tidak akan bersetuju dengannya. Bagi saya tidak perlu kita membuat heboh yang menjadikan suasana tidak harmoni dalam Pakatan Rakyat," katanya.
Mustafa berkata, kali pertama beliau diberitahu tentang enakmen ini oleh wakil tunggal PAS dalam DUN Pulau Pinang, iaitu Datuk Salleh Man.
“Dia telefon ketika DUN Pulau Pinang sedang bersidang dan memaklumkan ada satu enakmen yang akan dibentangkan dalam DUN dan diminta bercakap mengenainya.
"Dia bertanya, adakah ia sudah diluluskan di peringkat pusat dan saya berkata, tidak ada sebarang 'endorsement' daripada peringkat pusat.
"Saya kata, oleh sebab tidak ada persetujuan tentang perkara ini, sebaik-baik jangan bercakap supaya tidak timbul soal sokong atau tidak sokong mengenainya,” jelas beliau.
Mustafa juga mengakui mengarahkan Salleh supaya mengelak dari mengundi ketika enakmen itu mahu diluluskan.
Beliau juga kesal dengan sikap Guan Eng kerana pemimpin DAP itu sering mendakwa hudud yang mahu dilaksanakan di Kelantan bukan dasar bersama Pakatan Rakyat.
"Pilihan Raya PBT juga bukan dasar bersama Pakatan Rakyat, jadi macam mana pula DAP nak laksanakan?
"DAP selalu cakap mereka tolak hudud kerana ia bertentangan dengan perlembagaan, pilihan raya PBT juga bertentangan dengan perlembagaan.
"Kalau PAS tidak boleh laksana hudud kerana bertentangan dengan perlembagaan kenapa DAP pula boleh buat pilihan raya PBT, ini sudah cakap tidak serupa bikin," tegas Mustafa.
Jelas beliau, Guan Eng tidak boleh mendakwa dengan hanya satu panggilan telefon, PAS sudah bersetuju dengan pilihan raya PBT.
"Dalam hal berkaitan hudud, PAS juga memaklumkan kepada DAP keputusan mesyuarat PAS Pusat yang mahu kerajaan Kelantan menyertai Jawatankuasa Teknikal yang dicadangkan kerajaan Pusat atas dasar perbincangan antara kerajaan dan kerajaan.
"DAP terima penjelasan kita tetapi PAS tidak pernah buat kenyataan DAP setuju dengan hudud, tidak adil kalau PAS dakwa DAP setuju.
"Tetapi bagaimana dia boleh membuat kenyataan PAS sudah menyokong pilihan raya PBT selepas menelefon saya. Itu tidak tepat sebenarnya," katanya.
#DAP #hudud #PAS #pilihan raya PBT
;