Mustafa Akyol dibebaskan JAWI, masih berada dalam negara

Hakim Rahman
September 26, 2017 18:45 MYT
Mustafa yang menetap di Amerika Syarikat terkenal kerana sering mengkritik polisi Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan sering menulis mengenai isu Islam. - Gambar fail
Wartawan dan penulis Turki, Mustafa Akyol yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang yang ditahan semalam telah dibebaskan tengah hari tadi.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Abdul Aziz Jusoh berkata Mustafa dibebaskan selepas pihaknya selesai merakam percakapan dan melengkapkan siasatan lanjut.
"Sebelum ini kami telah memanggil Mustafa untuk membantu siasatan Jawi, namun dia gagal hadir dan dia ditahan dengan bantuan pihak Imigresen sebelum diserahkan kepada kita,
"Soal siasat mendapati, pihak penganjur tidak memaklumkan kepadanya keperluan untuk mendapatkan tauliah daripada pihak berkuasa agama untuk menyampaikan pengajaran Islam di negara ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
BACA: Wartawan Turki Mustafa Akyol dipercayai sudah meninggalkan Malaysia - Media
Pihak JAWI menyiasatnya berhubung aduan awam mengenai pembabitnya dalam majlis anjuran Islamic Renaissance Front (IRF) bertajuk Does Freedom of Conscience Open The Floodgate to Apostacy (Apakah Kebebasan Membuka Jalan Kepada Murtad?)
Mustafa yang menetap di Amerika Syarikat terkenal kerana sering mengkritik polisi Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan sering menulis mengenai isu Islam.
Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pemeriksaan pihaknya sehingga petang ini mendapati Akyol masih berada di negara ini.
Tinjauan Astro AWANI di portal media antarabangsa, Turkishminute.com mendedahkan Akyol sudah meninggalkan negara ini awal hari ini.
#Amerika Syarikat #Imigresen #JAWI #KLIA #Mustafa Akyol #Mustafar Ali #Sepang #Turki
;