Muslimat PAS WP buat laporan polis atas kenyataan 'muslimat bagaikan pelacur'
Astro Awani
Mei 7, 2014 19:56 MYT
Mei 7, 2014 19:56 MYT
Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP) hari ini membuat laporan polis terhadap Setiausaha Ulama Muda Umno, Mohd Radzi Othman yang mengeluarkan kenyataan biadap terhadap mereka yang bertudung labuh, lapor Harakahdaily.
Ketuanya, Nuridah Salleh berkata laporan yang dibuat di Balai Polis Sentul itu ekoran kenyataan Mohd Radzi yang menggelarkan para muslimat yang turun berdemonstrasi dalam himpunan anti-GST tempoh hari sebagai pelacur.
Nuridah berkata DMPWP menuntut suspek bernama Mohd Radzi membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan biadap itu.
"Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi," katanya.
Sebelum ini, Radzi menerusi laman twitter menyamakan muslimat bertudung labuh yang turun ke Himpunan Bantah GST 1 Mei lalu sebagai pelacur kelas atasan.
Pada 2 Mei lalu, Radzi antara lain menulis 'lelaki yang menyokong muslimah tudung labuh untuk keluar demonstrasi ibarat para pelanggan pelacur yang ghairah untuk merasai pelacur-pelacur yang akan dilanggannya'.
Beliau juga menulis, "Muslimah tudung labuh yang kali demonstrasi adalah setaraf dengan para pelacur golongan atasan. Nak saya samakan para muslimah kaki demo ini dengan martabat Ummul Mukminin? Jangan harap!"