Muslim Pro nafi jual data peribadi pengguna - JPDP

Bernama
November 23, 2020 05:53 MYT
Aplikasi Muslim Pro yang berpangkalan di Singapura sebelum ini dilaporkan menjual data peribadi pengguna Islam kepada tentera Amerika Syarikat bagi tujuan anti keganasan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) menerima penjelasan pembangun Muslim Pro, aplikasi mudah alih Islam, yang menafikan dakwaan mereka menjual data peribadi pengguna Islam kepada tentera Amerika Syarikat.
Menurut kenyataan JPDP, Muslim Pro menjelaskan maklumat yang diberikan sebelum ini kepada X-Mode bukan data peribadi.
"Pihak Muslim Pro amat komited melindungi data peribadi penggunanya mengikut lunas undang-undang serta peraturan perlindungan data peribadi.
"Hingga kini, sebanyak 72 peratus pengguna applikasi Muslim Pro masih merupakan pengguna yang tidak berdaftar dan ini meningkatkan ketanpanamaan (anonymity) aplikasi tersebut," demikian menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, jabatan itu menggesa pembangun aplikasi tersebut memastikan keselamatan data peribadi pengguna agar tidak disalah guna.
BACA: Didakwa jual data pengguna kepada tentera AS, Muslim Pro tampil menafikan
JPDP turut mengingatkan pengguna data agar mematuhi Prinsip Perlindungan Data Peribadi yang digariskan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).
Sebelum ini dilaporkan aplikasi yang berpangkalan di Singapura itu menjual data peribadi pengguna Islam kepada tentera Amerika Syarikat bagi tujuan anti keganasan.
-- BERNAMA
#data peribadi #bukan data peribadi #JPDP #Muslim Pro #aplikasi #jual data peribadi #pengguna islam #tentera Amerika Syarikat #undang-undang #anonymity #ketanpanamaan #pengguna tidak berdaftar #tanpa nama #anti keganasan #keselamatan #Singapura
;