Musim tengkujuh: Wanita OKU jual putu halba tambah pendapatan keluarga

Bernama
November 26, 2023 05:00 MYT
Kuih putu halba popular di negeri Pantai Timur setiap kali menjelang musim tengkujuh. - Gambar hiasan
TUMPAT: Seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal, Zauyah Deraman, 38, mencari pendapatan tambahan pada musim tengkujuh ketika ini dengan menjual putu halba di hadapan rumahnya di Kampung Ana, di sini.
Dimulakan sejak seminggu lepas, Zauyah berkata dia menjual kuih berkenaan dengan dibantu suami, Mohamad Abdullah Yah, 38, dan anak perempuannya, Siti Ainul Hanan Faqihah, 9.
Menurut Zauyah yang mengalami pergelangan tangan bengkok dan lutut tidak dapat dilipat sejak lahir, putu halba yang dijualnya istimewa kerana diletakkan inti kacang merah selain gula melaka.
"Setiap hari saya berjaya jual kira-kira 15 kilogram (kg) walaupun penat dan basah terkena hujan lebat," katanya kepada pemberita di gerainya di sini semalam.
Zauyah berkata dia turut memanfaatkan platform media sosial TikTok untuk mempromosi putu halba berkenaan dan usaha itu membuahkan hasil apabila menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
Sebelum berniaga putu halba, katanya dia turut mengusahakan perniagaan telur masin bagi menambah pendapatan keluarga kerana suaminya hanya bekerja kampung.
Sementara itu, Mohamad Abdullah berkata dia tidak memaksa Zauyah berniaga dan akur dengan kemahuan isterinya yang bersungguh-sungguh mahu mencari pendapatan tambahan.
"Sejak hari pertama berniaga, saya kagum melihat sambutan pelanggan membeli putu halba air tangan isteri dan berharap perniagaan ini terus maju," katanya.
-- BERNAMA
#putu halba #peniaga wanita OKU #banjir kelantan #cari pendapatan
;