Musim tengkujuh: Pulau peranginan Terengganu hentikan kedatangan pelancong

Bernama
November 3, 2019 15:29 MYT
Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, semua pusat peranginan di Pulau Perhentian telah ditutup bermula Oktober. - Gambar hiasan/BERNAMA
Kebanyakan pusat peranginan pulau-pulau terkenal di Terengganu menghentikan tempahan pakej pelancongan sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh tidak lama lagi.
Hanya beberapa buah sahaja yang dilaporkan akan beroperasi sepanjang tahun terutama bagi memenuhi permintaan pelancong asing yang berminat dengan sukan luncur ombak.
Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, semua pusat peranginan di Pulau Perhentian telah ditutup bermula Okt kecuali empat buah iaitu Sharila Perhentian Resort, Coral View Resort, D'Rock Garden Resort dan Aina Ohana yang akan beroperasi sepanjang tahun.
Manakala di Pulau Redang, Kuala Nerus dan Pulau Kapas, Marang, operasi kebanyakan pusat peranginan dihentikan sementara sejak Okt lepas, manakala operasi di Pulau Tenggol, Dungun dihentkan akhir bulan ini.
Rata-rata pengusaha yang ditemui Bernama berkata penutupan tersebut dilakukan bagi menyahut seruan kerajaan negeri yang bimbang dengan keselamatan pelancong terutama ketindaktentuan keadaan cuaca dan laut bergelora.
Tinjauan bersama pasukan Jabatan Taman Terengganu ke Pulau Perhentian baru-baru ini juga mendapati kebanyakan pengusaha giat melakukan persediaan dan memindahkan pelbagai peralatan terutama bot ke lokasi selamat.
Kini, kebanyakan pulau hanya dihuni pekerja dan pengusaha bagi memantau keadaan sekeliling sepanjang musim tengkujuh dan ini memberi laluan untuk kerja-kerja membaik pulih kerosakan pada bilik-bilik penginapan di pulau itu.
Pengusaha salah sebuah pusat peranginan di Pulau Perhentian, Masron Mustafa, 40, berkata penutupan itu pastinya mengurangkan pendapatan ramai pekerjanya tetapi ia perlu dilakukan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.
Katanya, ia juga telah menjadi rutin tahunan buat mereka setiap tahun untuk menutup tempat penginapan sementara waktu bermula Okt sehingga Feb dan dibuka sepenuhnya pada Mac setiap tahun.
"Saya telah menutup pusat peranginan sejak pertengahan Oktober. Difahamkan masih ada pengusaha penginapan lain yang masih beroperasi dan bakal tutup pada awal November, manakala ada juga yang dikatakan beroperasi sampai hujung tahun ini.
"Pada musim tengkujuh keadaan ombak yang tidak menentu boleh mendatangkan ancaman keselamatan kepada pelancong yang berkunjung ke pulau dan aktiviti yang dilakukan juga amat terhad berbanding hari biasa," katanya ketika dihubungi.
Masron berkata pada musim itu juga perkhidmatan bot tidak akan beroperasi seperti hari biasa dan ia menyukarkan pelancong untuk masuk ke pulau.
Ketika ditanya mengenai risiko yang biasanya berlaku di Pulau Perhentian, beliau berkata biasanya keadaan terkawal ekoran pulau berkenaan terlindung dari berdepan angin kuat berikutan adanya bukit yang menghalang angin daripada menerjah kawasan pusat peranginan.
Malah katanya, kerosakan yang dialami tidaklah seteruk kawasan peranginan lain seperti di Pulau Kapas.
Perkara itu diakui pengusaha pusat peranginan di Pulau Kapas Hawa Abdul Rahman kerana sejak beberapa tahun lalu beliau mengalami kerugian akibat musim tengkujuh dan terpaksa mengeluarkan kos pembaikan lebih daripada RM1 juta.
Katanya, hentaman ombak dan angin kuat bukan sahaja telah menerbangkan bumbung malah merosakkan peralatan lain.
"Ombak Kapas Resort akan tetap beroperasi sehingga musim tengkujuh tetapi tidak membukanya pada kemuncak demi keselamatan. Masih ada beberapa pelancong Eropah yang tinggal di situ semata-mata untuk bermain ombak," katanya.
-- BERNAMA
#Marang #musim tengkujuh #pelancong #pelancongan #Pulau Perhentian #Pulau Redang
;