Nelayan Vietnam diberi amaran supaya tidak menjadikan musim tengkujuh sebagai alasan untuk mereka berlindung di pulau-pulau sekitar Terengganu.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata mereka sering menggunakan alasan sama saban tahun sedangkan hakikatnya mengambil kesempatan dan giat menangkap ikan tanpa kebenaran di kawasan tersebut.

"Lazimnya di Terengganu, bot-bot nelayan asing akan mendekati pulau-pulau di perairan termasuk Pulau Perhentian, Pulau Redang, Pulau Bidong dan Pulau Tenggol. Mereka ini akan bersauh di sekitar pulau tersebut dan bertindak menangkap ikan berhampiran kawasan darat (kawasan tepi pulau) ketika musim tengkujuh," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Terengganu di sini hari ini.

Tegasnya, pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bukan sahaja tidak terpedaya dengan taktik sedemikian, malah akan mengambil tindakan tegas serta menangkap mereka sekiranya didapati menceroboh perairan negara.

Selain itu, menerusi sidang media yang sama Rashidilhadi berkata pihaknya telah menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang bersauh pada jarak 43 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, Jumaat lepas.

Katanya, bot tersebut ditahan pada pukul 2.30 petang oleh kapal Maritim KM Segantang ketika sedang melakukan rondaan Ops Naga.

"Bot tersebut dipercayai melakukan aktiviti pengumpulan hasil tangkapan laut daripada bot-bot nelayan Vietnam yang lain. Ketika ditahan bot itu tidak menangkap ikan tetapi agak meragukan apabila terdapat kira-kira lima tan ikan campur di dalam kotak penyimpanan ikan bot terbabit.

"Selain itu, kita turut menemui sebanyak 2,000 liter minyak diesel. Ini adalah tangkapan kedua Maritim Malaysia di Pantai Timur yang mana bot berkenaan disyaki bersubahat bersama bot-bot Vietnam yang lain dengan cara membeli hasil tangkapan untuk dibawa balik ke negara mereka," katanya.

Hasil pemeriksaan tersebut seramai 15 awak-awak termasuk tekong, berusia lingkungan 31 hingga 49 tahun ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen yang sah dan dokumen bot meragukan.

Rashidilhadi berkata beliau tidak menolak kemungkinan bahawa terdapat juga bot-bot nelayan tempatan yang turut menjual hasil tangkapan kepada bot berkenaan bagi mendapatkan pulangan yang lebih tinggi.

"Ikan-ikan di negara kita adalah gred A iaitu gred yang bagus dan berkualiti tinggi yang mana harganya lebih mahal dipasaran luar dan jika dibawa masuk ke pasaran kita nilainya lebih rendah," katanya.

-- BERNAMA