Musim tengkujuh: Nelayan rayu dibenar tangkap udang di pesisir pantai

Hafizi Rosli
November 9, 2022 10:58 MYT
Bagi nelayan di Kampung Nail, Kuala Besut, di sepanjang musim monsun, ia merupakan lubuk rezeki untuk mereka cari rezeki tambahan kerana ia merupakan musim udang di pesisir pantai - Foto/Astro AWANI
KUALA BESUT: Sekumpulan nelayan di Kuala Besut Terengganu merayu agar kerajaan dapat mempertimbangkan untuk membenarkan mereka membuat penangkapan udang di pesisir pantai ketika musim tengkujuh.
Ini kerana bagi mereka, musim udang yang tiba menjelang Disember hingga Mac itu dilihat dapat memberi kelegaan untuk mereka menambah hasil pendapatan.
Bagi nelayan di Kampung Nail, Kuala Besut, di sepanjang musim monsun, ia merupakan lubuk rezeki untuk mereka mencari rezeki tambahan kerana ia merupakan musim udang di pesisir pantai.
Namun dengan larangan tangkapan oleh agensi kerajaan, ia meresahkan sebahgian daripada nelayan di sini.
"Berilah kelonggaran kepada kami dua ke tiga bulan hujung tahun ini, kerana masa itulah anak nak bersekolah, nak bayar hutang.
"Kami sangat susah, hasil tangkapan dan kekerapan ke laut juga kurang disebabkan monsun," kata nelayan Ismail Madiah ketika ditemu bual Astro AWANI.
Bagi nelayan, Muhamad Asri Ramli, tempoh tiga bulan ini sangat penting untuk mereka menambah pendapatan mereka.
"Cuma harapan nelayan, agar pihak kerajaan dapat beri kelonggaran sebab nanti musim udang.
"Inilah masa untuk bot nelayan kecil (Kelas A) tambah rezeki, tidak lama, hanya tiga bulan sahaja yang kami minta," tambahnya.
Dengan keluarga yang perlu disara, ditambah penyenggaraan bot dan kekerapan turun ke laut semakin berkurang, mereka merayu agar kerajaan mempertimbangkan kebenaran tangkapan ini.
Kata nelayan, Mohd Zambri Mohd Noor, penangkapan udang hanya dibolehkan bagi yang mempunyai lesen, namun apabila dimohon lesen, dakwanya pelbagai kesulitan pula timbul.
"Bagi yang ada lesen sahaja boleh tangkap, tiada lesen tak boleh. Kami sudah minta surat dan kerajaan tak keluar lesen.
"Kalau kami tangkap juga kami kena denda, kami nak cari rezeki tapi tak mahu pula kena denda nanti," luahnya.
Besar harapan nelayan ini untuk kerajaan mempertimbang larangan penangkapan udang ini dihentikan dan diberi kebenaran kepada semua nelayan.
Ia bukan sahaja mampu menjana pendapatan lebih kepada para nelayan, malah dapat memastikan bekalan udang di pasaran mencukupi.
#Kuala Besut #nelayan #udang #musim tengkujuh