Musim tengkujuh: Harga ikan naik di Terengganu
Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
Disember 6, 2021 08:10 MYT
Disember 6, 2021 08:10 MYT
DUNGUN: Musim tengkujuh di negeri ini menyaksikan harga ikan meningkat antara RM2 dan RM4 sekilogram, susulan peniaga terpaksa mendapatkan bekalan dari luar Terengganu.
Keadaan ini terjadi kerana nelayan tidak keluar ke laut, menyumbang kepada kenaikan harga, termasuk kos pengangkutan.
Bagaimanapun, peniaga akur peningkatan harga berkenaan adalah bersifat sementara dan dijangka pulih selepas tamat monsun timur laut.
"Orang tak boleh keluar ke laut, jadi kita terpaksa ambil ikan dari luar. Apabila ikan dari luar, kos pengangkutan dan sebagainya, akan naik sedikit," kata Nor Fariza Mamat, peniaga yang ditemui di sini.
"Memandangkan sekarang musim tengkujuh, harga ikan mahal sedikit. Kalau biasanya RM7 atau RM8, sekarang jadi RM10 atau RM12 sekilo, contohnya," kata seorang lagi peniaga, Jamaludin Husin.
Bagaimanapun, menurut seorang lagi peniaga, Mohd Fadli Jusoh, bekalan ikan ketika ini masih mencukupi walaupun terdapat sedikit peningkatan harga
"Buat masa ini, dalam masa seminggu dua ini, bekalan memang cukup. Ikan sejuk beku pun banyak," katanya.
Selain itu, bekalan ikan air tawar termasuk tilapia, baung, keli dan patin menjadi sumber protin alternatif kepada pengguna bagi menampung pemintaan sepanjang musim tengkujuh.