Musim tengkujuh: Bekalan ikan cukup, jangan naikkan harga - LKIM

Bernama
November 6, 2023 15:10 MYT
LKIM memberi jaminan bekalan ikan negara mencukupi sepanjang tempoh itu, hasil persiapan awal agensi itu. - Gambar hiasan/ Reuters
BALIK PULAU: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) meminta pihak pemborong dan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga hasil laut terutama ikan ketika musim Monsun Timur Laut (MTL) yang djangka bermula bulan ini hingga Mac depan.
Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata hal ini kerana pihaknya memberi jaminan bekalan ikan negara mencukupi sepanjang tempoh itu, hasil persiapan awal agensi itu.
"Bekalan ikan yang terjejas adalah di Pantai Timur, itu pun melibatkan zon bot kecil yang hanya boleh ke laut tak lebih 5 batu nautika dari pesisir pantai manakala kapal-kapal besar seperti zon B dan C biasanya mereka masih ke laut, jadi sebenarnya tak ada kekurangan (ikan) yang kritikal kerana di Pantai Barat masih meneruskan tangkapan ikan.
"LKIM sedia dengan keadaan ini, kita ada stok bekalan ikan iaitu 90 tan metrik, pada masa sama LKIM bekerjasama dengan rakan-rakan dagang iaitu pihak swasta yang terlibat dengan industri perikanan iaitu keseluruhan ada 1,600 tan metrik ikan simpanan.
"Bekalan ikan memang mencukupi untuk rakyat kerana aktiviti (tangkap ikan) masih berterusan, malah kita ada ikan import dan ikan simpanan... jadi, tak seharusnya harga ikan melambung dan saya harap pihak peniaga, pemborong dan pengangkutan dalam setiap rangkaian bekalan tidak ambil kesempatan naikkan harga hanya kerana Monsun Timur Laut," katanya.
Muhammad Faiz berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Pulau Pinang di Kompleks LKIM Teluk Bahang di sini hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan 'Touch Point' dan peralatan penangkapan ikan berjumlah RM150,000 kepada 124 nelayan meliputi enjin bot, kotak ikan berinsulasi, pukat, tong ikan dan bakul makanan.
MTL dijangka membawa hujan lebat terutamanya kepada negeri-negeri di pantai timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah.
Sementara itu, Muhammad Faiz berkata LKIM merancang untuk membaiki 30 peratus daripada 397 jeti nelayan di seluruh negara yang uzur kerana telah berusia 30 hingga 40 tahun, pada tahun hadapan.
"Kita kena pastikan kemudahan jeti nelayan berada dalam keadaan baik supaya tidak ada gangguan dalam penghantaran tangkapan ikan, jadi fokus kita tahun depan nak pastikan 30 peratus jeti-jeti yang kebanyakan berusia 30 hingga 40 tahun itu perlu dibaiki," katanya.
-- BERNAMA
#MTL #musim tengkujuh #bekalan ikan #LKIM
;