'Musim sejuk' bawa rezeki melimpah untuk nelayan di utara tanah air

Adie Sufian Zulkefli
Januari 15, 2018 18:11 MYT
Bekalan ikan di Kuala Kedah pulih sejak beberapa hari lalu susulan keadaan laut yang kembali tenang dan cuaca sejuk yang melanda. foto Astro AWANI
Keluhan pengguna mengenai kenaikan harga ikan mungkin berakhir selepas ini dengan jumlah ikan yang didaratkan semakin meningkat.
Ada yang mengatakan akibat suhu sejuk dan nyaman yang melanda negara telah memberi rezeki yang melimpah bagi nelayan di Pantai Utara semenanjung.
Perubahan angin monsun timur laut juga mungkin jadi faktor pendaratan ikan yang mendadak.
Sebaik menghampiri pelantar ikan Kampung Seberang Kota dekat Kuala Kedah, kelihatan wajah gembiran dan senyuman manis nelayan yang baru pulang dari laut.
Salah seorangnya Norazlan Mohd Aslan, 38, yang berjaya membawa pulang 200 hingga 1,000 kilogram ikan sehari sepanjang 'musim sejuk' yang melanda negara.
''Dulu ikan mahal sebab cuaca, ombak kuat dan ikan pun dapat dalam 20 atau 30 kilo sehari.
''Bila ikan banyak kita bagi 3kg, RM10, 1kg RM4 sebab sekarang (cuaca) cerah dan kita boleh cari tempat banyak ikan,'' katanya.
Peningkatan jumlah ikan ini turut mengukir senyuman di bibir Melati Ladun, 36, yang berpeluang menjual ikan dengan lebih murah kepada para pengguna.
Penurunan harga ini juga bakal memberi rezeki yang lebih buat peniaga kerana lambakan ikan akan menarik lebih ramai pembeli kerana harganya yang jauh lebih murah.
''Harga ikut saiz, yang besar ada yang RM10 sekilo, yang kecik RM4 sekilo. Mana yang lelong tu RM10 tiga kilo.
''Beberapa hari ni, ada rezeki tapi kalau masa ikan tak ada, maka tak ada la,'' ujarnya.
Sementara, penambahan jumlah pendaratan ikan ini disahkan Persatuan Nelayan Kedah (Nekad).
Ahli Lembaga Pengarahnya, Abdul Hamid Bahari berkata, secara keseluruhan, 2,000 bot nelayan bagi semua kelas di negeri itu berjaya mendaratkan sekurang-kurangnya 110 tan ikan setiap hari.
''Orang ramai dinasihat membeli ikan terus di pelantar ikan milik nelayan kerana harganya jauh lebih murah sebab kita beli terus daripada nelayan dan bagi peluang isteri mereka berniaga.
''Bila kita hantar ke pasar pasar borong dia melalui orang tengah jadi sudah pasti harga akan lebih tinggi,'' katanya.
Permintaan ikan juga mencatat peningkatan sempena kedatangan Tahun Baru Cina dan memaksa Nekad menyimpan 50 tan stok untuk ikan beku.
#Alor Setar #Ikan murah #Kuala Kedah #lambakan ikan #makanan laut #musim sejuk #nekad #rezeki nelayan
;