Musim pancing 'ikan puyu' di Perlis

Bernama
Oktober 2, 2020 14:40 MYT
Ramai penduduk Perlis tidak akan melepaskan peluang memancing ikan puyu di sawah setiap kali musim menuai padi antara akhir bulan Ogos hingga Oktober. Gambar hiasan BERNAMA
KANGAR: Setiap kali musim menuai padi antara akhir bulan Ogos hingga Oktober, ramai penduduk Perlis, tanpa mengira umur, bangsa dan pangkat, tidak akan melepaskan peluang untuk memancing ikan puyu di sawah.
Tinjauan Bernama mendapati ramai mula keluar memancing sekitar pukul 4 petang hingga 7 malam dan antara lokasi yang menjadi tumpuan ialah sawah padi sekitar Kampung Mengkuang Layar, Kampung Wang Ulu, Titi Chai dan Seriab.
Salah seorang pemancing yang ditemui Bernama, Azizan Ahmad, 67, berkata, setiap kali selepas musim menuai padi, beliau tidak akan melepaskan peluang untuk memancing ikan puyu dan ikan keli.
"Jika bukan musim menuai padi, agak sukar untuk mendapat ikan kerana pada ketika itu air dari petak sawah dilepaskan ke tali air. Ikan turut masuk ke tali air, pada ketika itu susah ikan makan umpan," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, rasa ikan puyu 'padang' (sawah) amat sedap kerana isinya lebih manis berbanding ikan puyu yang dijual di pasar dan menurutnya, selain untuk dijadikan lauk buat sekeluarga, hasil tangkapannya juga boleh dijadikan ikan pekasam dan dijual secara kecil-kecilan.
"Ikan puyu sedap jika dibuat (masak) gulai, asam pedas atau pekasam, lagi sedap jika di makan dengan nasi panas," kata bapa kepada tiga orang anak itu.
Senada dengan Azizan, Mazlan Mustapa, 56, berkata memancing ikan selepas musim menuai padi amat menyeronokan kerana jumlah tangkapan adalah lebih banyak berbanding hari biasa.
'Letak angkat, letak angkat, itulah yang menjadi kepuasan dan keseronokan memancing ikan di sawah pada musim ini, ikan mudah makan umpan tidak seperti memancing di sungai atau tasik.
"Setiap hari saya boleh dapat antara 40 ke 60 ekor ikan puyu selain beberapa ekor ikan lain antaranya keli, haruan dan sepat dalam masa sejam ke dua jam sahaja dengan hanya menggunakan umpan cengkerik," kata bapa kepada lima orang anak yang berkerja sendiri.
Bagi Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad pula gemar memancing ikan puyu dan akan memancing apabila ada masa terluang.
"Bagi saya memancing ikan puyu dapat beri ketenangan dan merehatkan minda selain dapat mengingatkan kenangan manis memancing bersama arwah mak saya yang gemar memancing ikan," katanya. - BERNAMA
#ikan puyu #musim pancing #sawah #Tali air #ikan keli #ikan haruan #ikan sepat #umpan cengkerik
;