Musim panas, kering, jangan lakukan pembakaran terbuka - KASA
Afiezy Azaman
Februari 20, 2021 10:23 MYT
Februari 20, 2021 10:23 MYT
KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, terutamanya di kawasan yang mudah dan sering terbakar, seperti di tanah gambut dan tapak pelupusan sampah, lebih-lebih lagi pada musim cuaca panas dan kering ketika ini.
Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, negara kini sedang berada di penghujung Monsun Timur Laut sehingga pertengahan Mac 2021.
Katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan taburan hujan akan berkurangan di seluruh negara terutamanya di negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia iaitu Kedah, Perlis, Pulau Pinang, pedalaman Pahang, utara Perak, utara Terengganu dan utara Kelantan.
"Pelepasan daripada aktiviti perindustrian, aktiviti kerja tanah dan asap kenderaan bermotor juga menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara negara.
"Sebagai persediaan mendepani cuaca panas dan kering, saya ingin mengingatkan semua pihak supaya tidak mencemarkan udara dengan melaksanakan langkah-langkah mencegah pembakaran terbuka.
"Pengguna jalan raya juga hendaklah memastikan kenderaan diselenggara dengan baik, atau menggunakan kenderaan awam bagi mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya sebagai usaha untuk memastikan kualiti udara negara sentiasa berada pada tahap yang baik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Prosedur Tetap Operasi bagi melaksanakan Program Pencegahan Kebakaran di Tanah Gambut sejak 9 Februari 2021.
"Aktiviti penguatkuasaan akan dipertingkatkan dan tindakan yang lebih tegas akan diambil untuk menangani isu pencemaran udara yang menyebabkan kemerosotan kualiti udara dan jerebu tempatan yang boleh menjejaskan kesihatan awam," ujarnya.
#Tuan Ibrahim Tuan Man
#kebakaran
#jerebu
#cuaca panas
#tanah gambut
#terbakar
#monsun timur laut
#Taburan hujan
#pengguna jalan raya
#asap kenderaan