Musim panas: 23 titik panas dikesan di Sarawak - JPBN

Bernama
April 20, 2023 19:51 MYT
JPBN turut menasihatkan orang awam untuk menjaga kesihatan mereka termasuk mengurangkan aktiviti di luar. - Gambar hiasan
KUCHING: Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak 23 titik panas (hotspot) telah dikesan di seluruh negeri setakat ini.
JPBN memaklumkan secara amnya, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi negeri itu juga masih pada tahap sederhana.
Menurutnya, JPBN serta agensi kerajaan yang berkaitan telah bersiap sedia menghadapi musim panas di Sarawak termasuk dari segi anggota, aset dan peralatan diperlukan.
"Selain itu, antara langkah-langkah yang telah diambil bagi mencegah pembakaran terbuka adalah mengeluarkan kompaun serta notis amaran kepada pihak terlibat dan memastikan peralatan mencegah kebakaran terbuka dalam keadaan baik.
"Orang awam diminta membantu agensi-agensi kerajaan dalam menghadapi musim panas ini dengan tidak membuat sebarang pembakaran secara terbuka terutamanya di kawasan perumahan dan tanah gambut," menurut JPBN dalam kenyataan di sini, hari ini.
Selain itu, JPBN turut menasihatkan orang awam untuk menjaga kesihatan mereka termasuk mengurangkan aktiviti di luar.
-- BERNAMA
#titik panas #Sarawak #JPBN #pembakaran terbuka
;