Musim ketiga 'Jom Bekpes!' IOJ terima sambutan hangat
IOJ
Februari 7, 2018 16:30 MYT
Februari 7, 2018 16:30 MYT
Kempen sarapan pagi JOM BEKPES!, anjuran Institut Onn Ja'afar (IOJ) yang melibatkan sukarelawan institut pengajian tinggi awam dan swasta yang diteruskan untuk musim ketiga tahun ini menerima sambutan luar jangkaan.
Jika sebelum ini, kempen JOM BEKPES! anjuran IOJ diadakan dua kali sebulan dan melibatkan 40 sukarelawan dari IPTA dan IPTS,kini program terbabit yang bermula seawal pukul 7 pagi ini diadakan hampir setiap Rabu setiap minggu.
JOM BEKPES! memberi manfaat kepada hampir 250 kanaka-kanak kurang bernasib baik dan gelandangan di sekitar Chow Kit Kuala Lumpur.
Penaung IOJ, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, peningkatan jumlah belia dalam program kesukarelawanan yang membabitkan kanak-kanak kurang bernasib baik dan golongan gelandangan adalah satu tanda yang amat positif.
"Sejujurnya, aktiviti kesukarelawanan semakin mendapat sambutan yang baik daripada semua saban hari. Ini merupakan satu trend yang bagus kerana golongan belia akan menjadi pemimpin negera satu hari nanti. Mereka yang akan diberi tanggungjawab untuk membangunkan sifat berperikemanusiaan dan budaya bantu-membantu," katanya.
Kempen JOM BEKPES 2018 akan ditaja oleh Pelaburan MARA Berhad, iaitu syarikat pengurusan aset yang dimiliki sepenuhnya oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).
"JOM BEKPES adalah satu platform yang baik bagi kami untuk melaksanakan program-program bermanfaat kepada masyarakat Malaysia dari latar belakang yang berbeza.
"Kami berharap dapat membina hubungan yang baik dengan masayarakat terutamanya golongan yang kurang bernasib baik," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA, Datuk Nazim Rahman.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IOJ, Charles Mohan berkata JOM BEKPES dilancarkan pada 7hb Februari 2016 (hari ini) ditingkatkan kepada 33 sesi berbanding 25 pada tahun 2017.
"Sejajar dengan garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan, kami memilih untuk memberi keutamaan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik dan pusat gelandangan yang ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan," kata Charles.
Sesi JOM BEKPES hari ini melibatkan 39 sukarelawan dari Ramsay Sime Darby Healthcare College (RSDHC).
Sukarelawan dari kolej RSDHC tiba di Pusat Sukarelawan IOJ seawal jam 6.00 pagi. Mereka seterusnya menuju ke Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Pusat Aktiviti Kanak-kanak dan KL Krash Pad milik Yayasan Chow Kit dan Pusat Transit Gelandangan.
Selain memberikan sarapan kepada kanak-kanak yang terbabit,sukarelawan juga mengambil peluang untuk berinteraksi dengan golongan ini,yang kebanyakannya adalah kanak-kanak tanpa kerakyatan, pelarian dan golongan gelandangan,
IOJ juga menganjurkan Malaysians United Run 2017 pada 18 November tahun lepas yang disertai hampir 40 ribu peserta dan sumbangan tajaan disalurkan untuk menanggung kos pendidikan 50 kanak-kanak yang jatuh dibawah kategori kurang bernasib baik.
"Kami akan memantau kes-kes ini dan akan juga memaklumkan kepada pihak berkepentingan dari masa ke semasa mengenai perkembangan setiap kes, bagaimana dana tersebut digunakan dan usaha-usaha sukarelawan dan jawatankuasa kami dari universiti swasta dan awam tempatan yang akan menguruskan kes-kes tersebut selama setahun," tambah Charles.
#Institut Onn Ja'afar
#Institut Pengajian Tinggi Awam
#IOJ
#ipta
#ipts
#Jom Bekpes
#Majlis Amanah Rakyat
#MARA
#NAZIM RAHMAN
#sambutan hangat
#sukarelawan