Musim hujan, hati-hati dengan kehadiran binatang berbisa...
Muhafandi Muhamad
Disember 2, 2018 16:07 MYT
Disember 2, 2018 16:07 MYT
Musim hujan yang berlaku mengundang kehadiran binatang berbisa yang berkemungkinan memasuki kediaman dan juga kenderaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang diingatkan bukan sahaja beringat dengan banjir sebaliknya peka dan berwaspada dengan kehadiran tetamu tidak diundang ini.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan, Nazili Mahmood berkata, terdapat peningkatan laporan untuk operasi menangkap binatang berbisa ini apabila musim hujan.
"Kalau melihat perubahan monsun di Kelantan, kebiasaan bila hujan berterusan panggilan kecemasan khidmat tangkap ular meningkat tahun ini.
"Sepanjang tahun ini JBPM Kelantan menerima 170 panggilan untuk khidmat menangkap binatang berbisa dan 196 lagi panggilan untuk khidmat khas membuang sarang tebuan dan sebagainya. Semua anggota JPBM Kelantan telah diperlengkapkan untuk teknik menangkap binatang berbisa ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan di sini pada Ahad.
Menurut Nazili, anggota bomba dilatih dan mempunyai kepakaran dalam menangkap binatang berbisa yang memasuki rumah dan juga kenderaan.