Musim cuti: Pengusaha feri terpaksa tambah kekerapan perjalanan

Astro Awani
Februari 3, 2019 21:49 MYT
GAMBAR FAIL: Kelihatan sebuah feri yang berlepas dari Jeti Kuala Kedah ke Langkawi. - BERNAMA
Musim perayaan dan cuti sekolah memberi kesan kepada operasi syarikat pengusaha feri di Kuala Kedah, apabila mereka terpaksa menambahkan kekerapan perjalanan feri memandangkan permintaan yang terlampau tinggi.
Jika sebelum ini waktu perjalanan feri ke Langkawi adalah dua hingga tiga jam sekali, kali ini kekerapannya ditingkatkan kepada satu jam sekali bagi memudahkan pergerakan keluar masuk ke pulau tersebut.
Jelas Pengurus Bahagian Promosi Pelancongan Jeti Kuala Kedah, Rozilawati Husin, orang ramai membanjiri kawasan jeti tersebut seawal jam 5.30 pagi walaupun kaunter tiket hanya dibuka pada jam 7 pagi.
Tambah Rozilawati, situasi itu sering terjadi terutama ketika musim perayaan selain pada musim cuti sekolah yang panjang.
"Orang (penumpang) semakin ramai hari ini, berbeza dengan hari biasa. Tak macam ini. Kalau cuti Tahun Baharu Cina lagi ramai. (Perjalanan) ada tambah sejam sekali," ujarnya.
Sementara itu bagi Pembantu Pengurus Bahagian Tiket dan Logistik Langkawi Ferry Line, Khairul Fendi Md Nor, walaupun wujud sistem pembelian tiket atas talian ketika ini, pekerja di kaunter tiket tetap tidak menang tangan melayan kerenah orang ramai untuk membeli tiket secara terus.
"Buat masa ni, Kuala Kedah hari ni pun dah dua buah feri tambahan. Biasanya waktu perayaan dan Tahun Baharu Cina, memang kami sibuk," katanya.
#cuti sekolah #feri #Jeti Kuala Kedah #Khairul Fendi Md Nor #Kuala Kedah #Langkawi Ferry Line #musim cuti #pengusaha #penumpang
;