Muse Ecopark, R&R Rantau Manis - tempat riadah dan rehat menakjubkan buat pengguna laluan Pantai Timur
Muhafandi Muhamad
April 7, 2024 13:44 MYT
April 7, 2024 13:44 MYT
GUA MUSANG: Muse Ecopark yang dibuka bersebelahan dengan bandar ini menjadi lokasi hentian rehat memenuhi cita rasa pengguna jalan raya selepas penat mengharungi perjalanan jauh dari Kuala Lumpur atau Pantai Barat.
Pada waktu perayaan yang menyaksikan kesesakan lalu lintas memasuki Kelantan, hentian rehat Muse Ecopark menawarkan tempat riadah dan rehat yang lengkap untuk menghilangkan penat lelah memandu.
Menurut Pengasas Muse Ecopark dan pengurusan hentian rehat dan rawat (R&R) Rantau Manis, di sini, Mohd Nasir Ismail, Muse Ecopark terletak bersebelahan Gua Musang yang menjadi mercu tanda bandar itu.
"Di sini kita ada Kedai Muse, Warong Muse, KB Brewster, Inap Muse dan kolam terpanjang di Kelantan, iaitu 34 meter.
"Kemudahan itu ditawarkan kepada pengunjung untuk beristirahat dan aktiviti bersama keluarga. Di sini juga pengunjung boleh melakukan aktiviti ekstrem seperti via feratta dan flying fox atau mendaki gua," katanya ketika ditemui di Muse Ecopark.
Hentian atau Pit Stop Muse Ecopark dibangunkan dengan fasiliti lengkap termasuk 10 bilik rehat (deluxe and famili) serta kafe kopi KB Brewster.
Bukan itu sahaja bahkan, Muse Ecopark turut menempatkan restoran dikenali Warong Muse yang menawarkan sajian makanan Kelantan dan aneka roti bakar.
Turut disediakan, kedai serbaneka untuk pengunjung mendapatkan barangan keperluan.
"Selain Muse Ecopark, Hentian R&R di Rantau Manis turut menawarkan kawasan rehat yang lengkap dengan kedai makan berkapasiti sehingga 500 orang pada satu-satu masa, kemudahan tandas, surau, taman permainan dan parkir kenderaan yang luas.
"Hentian R&R Rantau Manis sudah dinaik taraf dengan pelbagai kemudahan termasuk surau, taman permainan serta kedai makan yang menawarkan pelbagai pilihan masakan dengan harga berpatutan dan mampu menampung pelanggan antara 300 dan 500 orang," jelasnya.
Sementara itu, bagi penyampai Radio Gegar, Fazlisham Mat Hussin atau Issey, Muse Ecopark merupakan hentian rehat yang serba lengkap dan menawarkan pengalaman yang memuaskan.
"Sebenarnya ini kali ketiga saya sampai di Muse Ecopark ini. Kali pertama saya sampai, terus jatuh cinta. Saya terus jatuh cinta sebab pelbagai kemudahan ada di Muse Ecopark ini.
"Walaupun saya tinggal di Kuala Lumpur, saya sering balik ke Kelantan atas urusan kerja. Jadi, apabila saya berhenti di Muse Ecopark, ini segala kemudahan ada.
"Kedai Muse, Warong Muse, kawasan parkir yang luas. Di sini juga ada resort yang sangat cantik, dengan bilik dan kolam pun besar," katanya.
"Sini bukan sahaja tempat berhenti berehat, tetapi tempat healing juga," tambahnya.
Dua kemudahan tempat hentian, masing masing di Muse Ecopark dan hentian R&R Rantau Manis ini, menjanjikan pengalaman menarik bagi perantau atau pengguna jalan raya Kuala Krai-Kuala Lumpur.
Untuk sebarang rujukan dan maklumat lanjut, sila ikuti media sosial rasmi berikut:
Facebook: www.facebook.com/museecopark
Instagram: www.instagram.com/muse_ecopark