Musa Aman syukur kes semakan rayuan sebagai Ketua Menteri diberi kebenaran mahkamah
Ruzaini Zulkepli
Ogos 26, 2020 21:31 MYT
Ogos 26, 2020 21:31 MYT
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, Tan Sri Musa Aman menzahirkan rasa syukur kes semakan rayuannya sebagai Ketua Menteri yang sah diberi kebenaran Mahkamah Persekutuan.
Beliau dalam kenyataan medianya hari ini berkata, mahkamah telah mengambil pendirian bahawa dapatan kes tersebut adalah sangat signifikan bukan melibatkan seorang individu, tetapi untuk semua rakyat di Sabah.
Jelasnya lagi, kes terhadap Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bukan bersifat akademik dan wajar diperdengarkan.
"Mahkamah Persekutuan mengambil ketetapan bahawa kes terhadap TYT Sabah dan Mohd Shafie bukan bersifat akademik, justeru wajar diperdengarkan.
"Ini supaya Mahkamah Persekutuan dapat menentukan keabsahan langkah menolak saya sebagai Ketua Menteri, susulan pelantikan Mohd Shafie sebagai penyandang jawatan berkenaan," katanya.
Jelas Musa, rakyat Sabah mempunyai hak untuk mengetahui sama ada langkah penyingkiran terhadap beliau sebagai Ketua Menteri dibuat selaras Perlembagaan Sabah atau sebaliknya.
"Seperti saya nyatakan sebelum ini bahawa kes ini bukan berkisar mengenai diri saya. Ia adalah berhubung perjuangan menuntut kebenaran, keadilan dan memartabatkan Perlembagaan Sabah.
"Saya ingin menzahirkan penghargaan kepada pasukan perundangan saya yang memberikan dedikasi sepenuhnya terhadap kes ini dan saya yakin bahawa mereka akan terus berbuat demikian pada masa depan," katanya.
Untuk rekod, Musa membawa cabaran kes terbabit sejak tahun 2018 dan dua kali ditolak di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sebelum ini.
#ADUN Sungai Sibuga
#kes semakan rayuan
#Ketua Menteri
#Mohd Shafie Apdal
#Musa Aman
#Tun Juhar Mahiruddin